REMY Ishak tak bimbang saingan pelakon baharu selepas lebih dua dekad cipta nama di dunia seni.
REMY Ishak tak bimbang saingan pelakon baharu selepas lebih dua dekad cipta nama di dunia seni.
Ridzuan Abdul Rahman


PANTAS masa berlalu dan sedar tak sedar sudah hampir 20 tahun Remy Ishak terbabit dalam industri seni.

Pelakon bernama sebenar Mohammad Zalimie Ishak ini mengharapkan sesuatu yang lebih baik dalam perjalanan kariernya sempena kehadiran tahun baharu 2023.

"Sejujurnya saya mengharapkan agar industri lebih berjaya. Sekarang banyak pilihan saluran dan produksi, tapi pilihan karakter agak terhad.

"Saya tak nak orang cepat bosan terhadap industri. Kita tak nak orang bosan dengan idea yang biasa kita bawa dan biasa orang tengok," katanya.

Remy, 40, berkata, sekiranya tawaran yang datang hanya berbalik kepada benda sama sahaja, baginya agak tidak bagus untuk 'showbiz'.

"Tahun ini saya nak fokus pada karakter. Banyak watak kita ada tapi banyak juga saya tertinggal. Kalau cerita cinta dan komedi memang dah pernah buat tapi yang membezakan watak dan cerita ialah premis itu sendiri," katanya.

Remy menjadi kegilaan dan buruan peminat apabila drama bersiri Nur Kasih mencipta fenomena pada 2009.

Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak lagi mengenang zaman terbabit

dan sebaliknya lebih menyukai apa yang ada sekarang.

"Saya tak rindu. Sebenarnya saya lagi okey sekarang. Tak sesak sangat kehidupan dan lebih fokus kepada kerja. Dengan adanya muka-muka baru, ia bagi saya lebih bernafas.

"Lagipun, golongan peminat saya dulu pun dah dewasa. Mereka dah tak terjah saya lagi. Saya okey sekarang dan dah banyak keluar ke 'event' yang lebih terbuka seperti acara maraton.

REMY mahu mencari karakter lakonan yang kuat pada tahun ini.
REMY mahu mencari karakter lakonan yang kuat pada tahun ini.

"Orang takkan kerumun macam dulu. Tapi kalau pergi luar bandar sama juga situasinya. Masih ada yang berbuat demikian. Malah ada juga golongan muda yang kenal saya," katanya.

Bergelar suami dan peningkatan usia juga menjadikan Remy lebih matang antaranya meninggalkan hobi motosikal berkuasa besar.

"Entah kenapa sekarang saya jadi takut pada kelajuan. Tak tahulah mungkin kerana faktor usia. Saya kini jadi orang yang lebih bertanggungjawab dalam kerja.

"Dulu lainlah darah muda. Ini adalah proses normal dalam kehidupan manusia. Sekarang saya lebih fokus pada tanggungjawab.

"Kalau sekiranya saya sedang berlakon dan pada masa sama terbabit dalam aktiviti bermotosikal atau tercedera tentunya susahkan orang lain. Bagaimanapun, minat terhadap maraton dan 'wall climbing' saya teruskan macam biasa," katanya.

Sementara itu, filem terbaharu lakonan Remy berjudul Harum Malam arahan Dain Said akan memasuki pawagam pada 9 Februari nanti.

Remy yang melakonkan watak Jamil, penggemar tumbuh-tumbuhan liar sebagai hobi berkata, ia satu pengalaman baharu terhadapnya.

LAKONANNYA menerusi Harum Malam.
LAKONANNYA menerusi Harum Malam.

"Ini filem seram pertama dan pengalaman pertama saya bekerja dengan Dain. Saya bagai tak percaya apabila ditawarkan peluang ini kerana profilnya yang sangat tinggi.

"Saya cakap dengan Bront Palarae untuk dapat keyakinan kerana agak tertekan juga ketika mula-mula berlakon. Dia kata tugasnya lagi berat berbanding saya.

"Memandangkan ia kali pertama, saya kena ambil masa untuk dapatkan ikatan dengan Dain. Saya tak tahu macam mana dan apa dia nak. Minggu pertama agak kekok, lama-kelamaan baru okey," katanya.

Filem terbitan Apparat dengan kerjasama D'Ayu Pictures dan Skop Productions turut menampilkan Bront, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud, Faizal Hussein, Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 7:00 AM