REZEKI Sissy mengendalikan program Muzik Muzik 36 bertahan selama setahun. FOTO Amirudin Sahib
REZEKI Sissy mengendalikan program Muzik Muzik 36 bertahan selama setahun. FOTO Amirudin Sahib
Najiy Jefri


SELEPAS setahun mengendalikan program popular Muzik Muzik 36, perjalanan karier Sissy Iman sebagai pengacara program itu menemui titik noktah, baru-baru ini.

Menafikan dirinya disingkirkan, Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imaan Mohammad Kamil berkata, dia membuat keputusan itu kerana tidak mampu terikat dengan komitmen setiap hujung minggu.

"Banyak aktiviti termasuk undangan persembahan dan program bersama keluarga terpaksa ditolak kerana komitmen untuk Muzik Muzik 36 setiap hujung minggu.

"Jadi saya terpaksa melepaskannya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana menimba banyak pengalaman baharu sepanjang setahun bertugas sebagai pengacara program itu.

"Saya akui program ini membuka ruang rezeki luas buat saya dan melonjakkan nama untuk lebih dikenali.

"Justeru saya sangat berterima kasih kepada TV3 atas peluang diberikan. Saya percaya rezeki akan sentiasa ada pada masa mendatang," katanya.

Menurut Sissy, bidang pengacaraan adalah cabang seni yang mula digemari dan ingin mencabar diri mengendalikan pelbagai program baharu.

Katanya, dia juga akur apabila perlu menerima tawaran yang tidak memerlukan komitmen terlalu panjang.

"Saya masih mengacara, malah baru saja menyelesaikan tugasan untuk program

travelog siaran RTM. Program ini masih belum ditayangkan. Saya juga bakal mengendalikan program realiti, Getaran Jiwa terbitan TVS bersama Jiggy Masin.

"Walaupun terpaksa berulang-alik ke Kuching, Sarawak setiap minggu, tetapi saya terima tawaran kerana hanya bersiaran selama lapan minggu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur masih mendapat kepercayaan. Saya juga sibuk menerima undangan sebagai pengacara majlis untuk majlis tertutup," katanya.

Bagi Sissy, biarpun kerjaya sebagai pengacara lebih menyerlah berbanding nyanyian, dia tak kisah dikenali sebagai pengacara berbanding penyanyi.

SISSY tidak kisah apabila lebih dikenali dalam dunia pengacaraan berbanding nyanyian. FOTO Amirudin Sahib
SISSY tidak kisah apabila lebih dikenali dalam dunia pengacaraan berbanding nyanyian. FOTO Amirudin Sahib

"Ia tetap sesuatu yang positif. Sekurang-kurangnya, ada juga perkara yang orang ingat mengenai saya,? katanya.

Jika menghitung perjalanan seni Sissy, sebenarnya sudah hampir sedekad wanita berusia 26 tahun itu mencanai bakat dalam bidang hiburan.

Sissy juga tidak kisah seandainya masih dilabelkan sebagai artis suam-suam kuku dan tidak akan sesekali menimbulkan kontroversi yang boleh menjejaskan nama baiknya semata-mata untuk dikenali dengan pantas.

Ditanya pernahkah dia diajak untuk mencipta kontroversi bagi mendapat publisiti, Sissy berkata, perkara itu pernah berlaku.

Namun, dia terpaksa menolak pelawaan itu kerana enggan melonjak nama dengan cerita negatif.

"Ada seorang rakan selebriti mengajak saya berpura-pura bercinta. Rakan selebriti ini beranggapan saya tidak mempunyai cerita panas. Namun, saya menolaknya dengan baik.

"Bagi saya, biarlah kurang dikenali sekalipun daripada reka cerita tidak masuk akal. Tak mengapa kurang sensasi, asalkan tidak menipu. Saya juga tidak mahu menipu diri sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sissy bakal melancarkan album sulung yang dirakamkan di The Abbey Road Studios, London.

Sissy berkata, dia berdebar menantikan sambutan dan maklum balas peminat.

"Saya tahu ini adalah era digital. Ramai penyanyi memilih tidak mengeluarkan album fizikal, manakala saya pula sebaliknya. Saya percaya setiap penyanyi juga mesti nak memiliki sekurang-kurangnya satu album untuk portfolio seninya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 7:00 AM