PLATFORM dark web menggunakan pelbagai elemen sulit untuk menjamin kerahsiaan penggunanya.
PLATFORM dark web menggunakan pelbagai elemen sulit untuk menjamin kerahsiaan penggunanya.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur : Sebut saja mahu beli apa, pastinya tersedia bermula dengan kredit kad curi sehingga kepada aset ketenteraan.

Antara barangan terlarang dijual di platform laman dagang pasaran gelap atau lebih dikenali sebagai dark web antaranya dadah, senjata api dan pelbagai data peribadi dilelong secara pukal.

Tidak cukup itu, aset ketenteraan seperti kapal selam serta kereta kebal termasuk senjata api automatik turut didagangkan dalam platform rahsia terbabit.

Barangan itu boleh dibeli sesiapa saja malah dibimbangi menjadi ancaman terbaharu kepada keselamatan negara.

Selain itu, data peribadi seperti alamat, nombor telefon serta maklumat kad kredit dibuka untuk jualan secara terbuka di dalam platform yang diistilahkan sebagai E-pasaran gelap itu sejak lebih tiga tahun lalu.

Agensi teknikal keselamatan siber negara iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) mengakui kewujudan laman dagang berkenaan namun usaha membanterasnya agak sukar memandangkan platform sulit itu dicipta untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil mendedahkan, situasi berkenaan boleh diibarat sebagai bom jangka kerana terlalu banyak kebocoran data dijual secara pukal dalam web berkenaan.

Wartawan turut ditunjukkan contoh laman dagang dalam dark web dan melihat pelbagai barangan dijual menggunakan transaksi mata wang bersifat kerahsiaan seperti Monero (XMR) dan Litecoin (LTC).

Penggunaan mata wang seperti itu lebih sukar dikesan pihak berkuasa.

Antara yang dilihat dalam demonstrasi itu adalah kad kredit dipercayai dicuri dijual secara pukal, senjata api, data peribadi dan turut kelihatan adalah kapal selam.

"Segala transaksi dalam dark web ini menggunakan mata wang kripto kerana kerahsiaan sistem itu selain tiada jejak transaksi sekali gus memberi 'perlindungan' keselamatan kepada penjual dan pembeli.

"Untuk laman dagang di dark web ini, pengguna tidak memerlukan modal yang besar, sebaliknya terdapat kad kredit curi atau data peribadi pukal yang dijual pada harga di bawah RM100.

"Kebanyakan pembeli maklumat kad kredit terbabit akan menggunakannya menerusi sistem perdagangan elektronik antaranya kad permainan video serta langganan akaun siaran penstriman seperti Netflix tanpa sebarang sekatan," katanya.

Menurutnya, pengguna hanya perlu memasuki laman sesawang menerusi pautan tertentu serta enjin carian khas dan melakukan transaksi menggunakan mata wang kripto.

Katanya, semua data sensitif pengguna dijual menerusi dark web dengan harga yang murah serta secara pukal.

CSM bangunkan keupayaan pantau platform

Perniagaan haram di pasaran gelap Internet atau dark web yang menggunakan trafik yang disulitkan, alamat laman web (URL) sering bertukar dan tindanan rangkaian menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan perniagaan menerusi platform terbabit.

Urus niaga di platform itu juga tidak menggunakan transaksi institusi perbankan, sebaliknya menggunakan mata wang digital kripto memandangkan kaedah itu tidak memiliki jejak forensik transaksi, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa melakukan pemantauan.

Namun CyberSecurity Malaysia (CSM) membangunkan keupayaannya selaku agensi teknikal keselamatan siber melalui pembangunan kapasiti sumber manusia dan teknologi untuk memantau platform terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, ancaman jenayah siber di dark web ini mencabar kerana platform direka dengan memiliki elemen yang menyukarkan untuk dikesan.

"Platform haram ini menggunakan pelbagai elemen sulit supaya pihak berkuasa sukar mengesannya dan ia termasuk melindungi jejak digital mereka yang merangkumi maklumat laman sesawang dan maklumat pengguna.

"Dark web ini tidak boleh diakses menerusi carian biasa sebaliknya ada kaedah tertentu.

"Platform ini ada elemen sulit antaranya ketanpanaamaan (anonymity), trafik yang disulitkan serta tindanaan rangkaian," katanya.

Beliau berkata, ciri sebegini menjadikan dark web unik dan capaian akses kepada platform memerlukan penggunaan teknologi dan pengetahuan tertentu.

Amirudin berkata, aktiviti jenayah siber seperti pengubahan wang haram, transaksi mata wang digital dan urus niaga perkhidmatan jenayah siber serta aktiviti-aktiviti haram yang lain amat sukar ditangani.

Menjelaskan berhubung dark web, beliau berkata, kebanyakan platform itu hanya boleh diakses melalui jemputan dalam kalangan yang dikenali kumpulan berkenaan dan lazimnya, URL dibina mungkin hanya boleh dicapai dalam tempoh dua hingga empat minggu saja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 12:00 PM