POARCH antara tiga individu paling berpengaruh di TikTok.
POARCH antara tiga individu paling berpengaruh di TikTok.
Georgie Joseph


DARIPADA sensasi TikTok kepada penyanyi profesional, kehidupan Bella Poarch berubah sekelip mata.

Dia kini dipuja ratusan juta peminat di seluruh dunia berikutan pencapaian demi pencapaian yang diraih.

Poarch, 25, tampak tidak sia-siakan laluan yang terbentang luas di depan untuk mengejar segala impiannya. Penyanyi kelahiran Filipina dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) itu kian melakar legasi kukuh.

Menghampiri 100 juta pengikut di TikTok manakala lebih 13.9 juta di Instagram, dia sama sekali tak sangka kejayaan itu.

Kini bergelar bintang, selama ini dia cuma mampu berangan-angan.

"Saya tidak pernah terfikir semua ini jadi kenyataan. Ya, saya memang simpan impian tapi rasa macam tak percaya kini berada di tahap ini dan dapat peluang lancarkan karya muzik kepada jutaan orang.

"Masih lagi terasa seakan-akan mimpi apabila hal yang saya benar-benar mahu perjuangkan akhirnya tercapai juga. Saya percaya 100 peratus bahawa perjuangan tidak pernah menidakkan rezeki," katanya.

Poarch meledak di TikTok lebih dua tahun lalu apabila bakatnya menyanyi lagu rap menawan jutaan orang. Ketika itu, dia menyanyikan lagu Millie B berjudul 'M to the B' dengan begitu cemerlang.

Sejak itu, pengikut akaunnya naik mendadak, manakala dia turut aktif muat naik kandungan menarik. Bukan sekadar bakat seninya, personalitinya turut membuatkan ramai jatuh cinta dengannya.

Lebih membanggakan, Poarch antara tiga paling berpengaruh dalam aplikasi TikTok ketika ini. Dia tidak menafikan platform itu sebenarnya sangat berjasa dalam menaikkan namanya di persada dunia.

"TikTok adalah hal yang paling saya syukuri. Aplikasi hiburan itu memang sangat berjaya membawa perubahan terbesar dalam hidup serta kerjaya saya.

"Saya sangat tersentuh dan berterima kasih buat peminat yang mengikuti saya di TikTok dan kemudian terus setia menyokong pelbagai minat saya. Sebab merekalah saya berada di tahap ini sekarang," katanya.

Mei tahun lalu menjadi titik mula terindah buatnya sebagai penyanyi profesional. Dia dilamar syarikat rakaman gergasi Warner Music untuk menguruskan kerjaya muzik serta seninya.

BANGGA akhirnya EP berjudul Dolls dilancarkan baru-baru ini.
BANGGA akhirnya EP berjudul Dolls dilancarkan baru-baru ini.

Tidak menunggu lama, Poarch juga melancarkan EP sulungnya yang berjudul Dolls pada 12 Ogos lalu. Semestinya ia cukup bermakna apabila pelancaran itu menjadi pemula kerjaya sebenarnya sebagai artis muzik.

Berkongsi mengenai EP itu, dia memutuskan untuk salurkan segala pengalaman hidup sendiri dalam penceritaan karya lagunya.

Menurutnya, dia mahu sampaikan mesej yang begitu membekas serta jadi pedoman hidup selama-lamanya.

"Banyak lagu saya memang dipengaruhi oleh pengalaman hidup serta kejadian sebenar yang berlaku. Tidak ketinggalan, bagaimana putaran roda emosi saya sewaktu meniti kedewasaan.

"Saya mahu pendengar meresap mesej bahawa hidup ini bukan seperti yang kita tonton dalam filem. Saya berdepan rintangan sewaktu membesar.

"Begitu juga pergelutan hidup yang malangnya pasti berkaitan difahami ramai orang lain. Saya kena mencari laluan sendiri untuk melepaskan diri daripada kesulitan selain mengenal siapa saya sebenar," katanya.

MAHU terus bereksperimen dalam karya muzik.
MAHU terus bereksperimen dalam karya muzik.

Sebagai anak seni yang sentiasa ingin majukan diri, Poarch juga tidak mahu terikat dengan genre tertentu dalam muziknya. Justeru, dia lebih memilih hala tuju berkarya yang terbuka dan terus mencabar kemampuan diri.

"Saya mahu sentiasa biarkan diri dan projek akan datang untuk lebih kepada bereksperimen. Saya masih baharu dalam muzik dan ingin terus mencuba pelbagai bunyi atau genre dari semasa ke semasa," katanya.

Idam jadi bintang filem, suara masyarakat

Sebelum menceburi bidang seni, Poarch sempat berkhidmat sebagai tentera AS selama tiga tahun. Memulakan khidmat pada 2017, dia ditempatkan dalam sektor penerbangan di Hawaii dan Jepun.

Terbukti, dia sememangnya cukup bersedia untuk melakukan apa saja bidang.

Menurutnya, dia juga berhasrat mahu mencipta nama sebagai bintang filem pula suatu hari nanti.

"Saya memang sangat terbuka kepada bidang lakonan. Hakikatnya, saya sudah terfikir lama mengenainya. Dapat menjayakan watak di TV mahupun filem sangat mengujakan saya.

"Perkara itu kuat saya rasakan apabila menjayakan penggambaran video muzik saya. Saya sangat teruja dengan corak bagaimana saya menyalurkan sepenuh tenaga terhadap lakonan diberikan," katanya.

Di samping itu, Poarch juga paling dikenali dengan perjuangan lantangnya sebagai antiperkauman.

Menurutnya, dia sangat perlukan perjuangan sebegitu agar menjadi suara besar mewakili komuniti tertentu.

"Saya ingin menjadi aset kepada banyak komuniti yang perlukan suara. Saya amat terkesan melihat tindakan kebencian yang tercetus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Walaupun ia tidak mendapat hebahan cukup dalam berita, masih perlu banyak usaha kena lakukan. Saya sangat bangga berbincang mengenai keturunan serta menyokong kuat komuniti Asia saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:00 AM