SEE menunjukkan gambar mendiang suaminya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SEE menunjukkan gambar mendiang suaminya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dipukul jirannya menggunakan sebatang kayu di Jalan Kelochor, di sini, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan awal dipercayai kejadian pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

Katanya, suspek yang berusia pertengahan 60-an mengaku memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana mangsa menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melalui jalan berkenaan.

"Suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan mangsa bertindak melarikan diri pulang ke rumahnya sebelum mangsa ditemukan isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dapur rumahnya.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat kesan luka serta bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan dan penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat dan pakar perubatan menyatakan kematian mangsa disebabkan serangan jantung, selain kecederaan lain.

"Susulan itu, polis menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan permohonan reman akan dipohon esok untuk siasatan lanjut," katanya sambil menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu isteri mangsa, See Toh Yuat Shya, 69, berkata, ketika kejadian dia baru saja ingin bersarapan namun apabila mendengar bunyi bising suara jirannya, dia menjengah keluar dari pintu bahagian dapur dan terkejut melihat mendiang suaminya, Hor Keng Wah, 69, sudah terbaring.

"Mendiang suami saya seorang pendiam dan kejadian yang berlaku pada pagi tadi benar-benar mengejutkan apatah lagi mengenali individu yang memukul suami kerana kami hidup berjiran dan saya tidak tahu punca suami saya dipukul.

"Lelaki yang memukul mendiang suami saya tidak tinggal di sini, sebaliknya dia tinggal di tempat lain dan kerap datang ke rumah itu untuk mengemas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kelochor.

Katanya, malam tadi, mereka sekeluarga bersama saudara-mara sempat makan steamboat dan pada ketika itu tidak ada perubahan yang dilihat pada mendiang suami kerana kelakuannya seperti biasa.

"Bagaimanapun, perkara yang membuat saya lebih terkilan apabila mendiang suami tidak sempat ke Sungai Petani di Kedah pada 18 Jun ini untuk menghantar anak bongsu kami yang berkahwin ke rumah pengantin lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 11:02 PM