GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Empat beranak yang sedang menanti waktu berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, di sini, parah ditetak ahli keluarga mereka sendiri dalam kejadian amuk, kelmarin.

Dalam kejadian 7.11 malam, lelaki berusia 38 tahun itu menetak isterinya, ibu mentua serta dua adik iparnya, masing-masing seorang lelaki dan perempuan, menggunakan parang kemudian melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kes itu pada 8.22 malam kelmarin.

"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian empat beranak itu sedang menanti waktu berbuka puasa sebelum suspek tiba-tiba mengamuk dan menetak empat beranak itu menggunakan parang.

"Kesemua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi bagi rawatan lanjut, keadaan mereka kini stabil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Husin berkata, punca kejadian tidak diketahui dan polis kini sedang menyiasat motif kejadian serangan itu.

Katanya, suspek yang juga pekerja ladang nanas kini sedang giat dikesan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 4:00 PM