Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kebangkitan yang diharapkan daripada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak kesampaian apabila tewas 0-2 dalam aksi kedua di tangan Laos hari ini sekali gus gagal melepasi peringkat Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja.

Ketumpulan jentera hadapan selain kehilangan hampir separuh pemain utama ekoran dijangkiti Covid-19 antara kesukaran yang dihadapi anak buah Brad Maloney sepanjang kempen kali ini.

Begitupun, kekalahan 1-2 kepada Laos dalam aksi pertama Jumaat lalu menyaksikan skuad negara tiada pilihan lain apabila wajib mencari tiga mata penuh bagi mencerahkan laluan ke separuh akhir.

Dalam aksi timbal balik di Stadium National Morodok Techo di Phnom Penh itu, pasukan negara yang terdesak memburu gol awal berjaya mencemaskan kubu Laos di minit ke-10 namun percubaan Nur Azfar Fikri Azhar ditepis Keo Oudone Souvannasangso untuk menenangkan keadaan.

Skuad kendalian Maloney terus menguasai permainan dengan lawan sesekali datang menyerang menerusi serangan balas yang cukup merbahaya.

Detik malang negara akhirnya tiba pada minit ke-43 apabila ketua pasukan Laos, Bounphachan Bounkong memanfaatkan peluang menerusi sepakan percuma cantik yang gagal dihalang Syed Muhammad Nasrulhaq.

AKSI pemain negara, Muhammad Azrin Afiq pada perlawanan sebentar tadi. FOTO Sportflex
AKSI pemain negara, Muhammad Azrin Afiq pada perlawanan sebentar tadi. FOTO Sportflex

Ketinggalan satu gol membuatkan Maloney tiada pilihan lain apabila memasukkan dua penyerang baharu pada babak kedua bagi menambah sengat di jentera depan.

Ternyata kemasukan tenaga baharu itu mengubah corak serangan negara namun ketumpulan penyudah sekali lagi mengecewakan.

Sekurang-kurangnya tiga percubaan dari Muhammad Azrin Afiq, Ahmad Tasnim Fitri dan Azhad Harraz Arman gagal menghasilkan jaringan.

Sebaliknya kesilapan pertahanan negara pada minit ke-86 sekali lagi mengundang padah apabila hantaran ke belakang bijak dipintas Souksakhone Bouaphaivanh untuk menambah derita kem negara dengan gol kedua.

Kekalahan kali kedua di tangan Laos itu sememangnya cukup memalukan dan Maloney kini hanya tinggal tiga bulan lagi bagi memperbaiki segala kelemahan sebelum temasya Sukan Sea Vietnam membuka tirainya pada Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 10:09 PM