Sesi latihan pemain JDT. FOTO Johor Southern Tiger
Sesi latihan pemain JDT. FOTO Johor Southern Tiger
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Atas kertas laluan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebenarnya cukup berliku apabila terpaksa berdepan dua pasukan terkuat Liga Malaysia (Liga M) musim ini iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC sebelum mampu melangkah ke final musim ini.

KDA yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua di belakang JDT adalah halangan pertama buat anak didik Benjamin Mora di suku akhir sebelum Terengganu dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir sekali gus menempah pertemuan dengan skuad Harimau Selatan itu.

Bagaimanapun, pemerhati bola sepak tempatan Wan Jamak Wan Hassan percaya, JDT tetap mampu melepasi semua halangan itu dan beliau yakin trofi berprestij itu akan terus kekal di bumi Johor buat musim kedua berturut-turut.

Menurutnya, alasan itu bersandarkan kepada kekuatan keseluruhan JDT yang memiliki skuad seimbang dari tonggak utama hingga pemain simpanan.

"Istilah JDT ini macam All Player Available di mana, kalau pasukan lain mungkin hanya ada 13 hingga 14 pemain saja yang sama kualiti, tetapi tidak buat JDT.

"Johor ada 20 pemain atau lebih yang sama tahap permainannya dan ia tidak akan menjejaskan persembahan mereka. Mungkin pasukan lain akan hadapi masalah kecederaan dan terpaksa tukar pemain lain yang akhirnya jejaskan sedikit permainan.

"Malah, keputusan di peringkat kumpulan juga menyaksikan JDT kekal konsisten dan itu bakal beri kelebihan buat mereka hingga ke final dan pertahankan Piala Malaysia," katanya.

Selain itu, Wan Jamak yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya dari 1996 hingga 1997 berkata, beliau memilih Selangor FC untuk berentap di final dengan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 November ini.

"Saya bukan nak menidakkan pasukan lain seperti KL (Kuala Lumpur City FC), Melaka United atau Sabah FC dalam laluan satu lagi ke final itu, tetapi saya melihat kepada tradisi Selangor setiap kali main dalam Piala Malaysia.

"Memang Selangor tak berapa nak konsisten musim ini, tapi bila dalam pertandingan Piala Malaysia ini mereka sering bangkit dan buat kejutan. Sejarah juara sebanyak 33 kali Piala Malaysia mungkin boleh jadi tonik dan sumber inspirasi untuk mereka ke final dan saya pasti ramai peminat yang mahu saksikan pertembungan dua seteru ini di final nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:30 AM