Ahmad Hasbi

Seremban: Ibu bapa mereka berbangsa Melayu, namun dua beradik masing-masing berusia 14 dan 17 tahun ini lebih selesa bertutur dalam bahasa Mandarin ketika berada di rumah.

Itu kelebihan dimiliki Khairina Izzaty Haizar, 17, dan adiknya, Khairil Hakimi Haizar, 14, yang menganggap kelebihan itu sebagai jambatan perpaduan antara kaum di negara ini.

Khairina Izzaty berkata, dia mula belajar bahasa Mandarin ketika berusia enam tahun selepas dimasukkan ke tadika Cina di Kepong, Kuala Lumpur.

Dia menyambung pelajaran di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Apabila meneruskan persekolahan di peringkat menengah, kami berpindah ke Seremban dan belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK) biasa.

"Bagi memastikan kemahiran saya tidak tumpul, saya sering menggunakan bahasa Mandarin ketika berbual dengan adik yang juga mendapat pendidikan awal di SJKC," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Oakland, di sini.

KHAIRINA Izzaty  dan Khairil Hakimi membacakan akhbar berbahasa Cina kepada Normy di kediaman mereka di Taman Oakland, Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
KHAIRINA Izzaty dan Khairil Hakimi membacakan akhbar berbahasa Cina kepada Normy di kediaman mereka di Taman Oakland, Seremban. FOTO Ahmad Hasbi

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, kelebihan itu membolehkan dia mempunyai ramai rakan berbangsa Tionghoa, malah mampu memahami budaya kaum itu.

"Rakan berbangsa Cina memberi sokongan dan kagum dengan kebolehan saya," katanya yang pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan nyanyian lagu bahasa Mandarin di sekolah rendahnya.

Sementara itu Khairil Hakimi berkata, kebolehan berbahasa Mandarin itu mampu merapatkan jurang antara kaum dan mewujudkan perpaduan.

Sementara itu, Normy Md Shaari, 44, ibu kepada dua beradik itu berkata, dia mahu anaknya lebih berani bercakap bahasa Mandarin dengan orang awam.

"Khairina suka menyanyi dan pernah menang pertandingan menyanyi lagu bahasa Mandarin, jadi saya mahu dia teruskan minatnya itu dengan menggunakan platform media sosial.

"Ini memang hasrat saya sebelum berkahwin yang mahu anak mampu bertutur dalam bahasa Mandarin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:50 AM