TANGKAP layar video tular.
TANGKAP layar video tular.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Video berdurasi 37 saat memaparkan pesakit lelaki berusia 60-an terjatuh di lantai sebelum meninggal dunia di Hospital Lama, di sini, tular dalam media sosial kerana didakwa berlaku akibat kecuaian doktor dan jururawat.

Video dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) itu menunjukkan pesakit terbabit yang tidak berbaju dan hanya berkain berjalan dalam keadaan lemah sebelum dia terjatuh.

Pemilik akaun FB berkenaan yang tidak diketahui sama ada mempunyai ikatan keluarga atau sebaliknya meninggalkan hantaran yang mendakwa pihak hospital bersikap sambil lewa tanpa memberikan bantuan kepada mangsa.

Antara kandungan petikan yang ditulis pemilik FB terbabit mendakwa walaupun sudah hampir setengah jam mangsa jatuh, namun doktor dan jururawat bertugas tidak peduli dan gagal mengambil tindakan serta merta.

Malah, pemilik akaun FB itu dalam tulisannya juga mendakwa apabila pesakit lain melaporkan kejadian itu kepada jururawat, mereka pula disuruh petugas kesihatan melakukan pemeriksaan terhadap pesakit yang jatuh berkenaan.

Arahan itu didakwa diberikan jururawat kepada pesakit yang membuat laporan bagi memastikan mangsa yang terjatuh itu masih bernyawa atau tidak.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo, berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung isu ini.

"Kita masih mengumpul maklumat lengkap dengan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai aspek.

"Setakat ini, apa yang hanya saya boleh sahkan video yang tular itu lokasinya memang di hospital lama," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes kematian pesakit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 10:37 PM