YUSOF. FOTO Arkib NSTP
YUSOF. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Membintangi filem aksi patriotik Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang diterbitkan pada 1981 menjadi kenangan terindah buat pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam, 67.

Yusof berkata, dia yang ketika itu berusia 27 tahun amat teruja berlakon di samping Jins, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham A Rahim.

"Siapa tak nak berlakon dengan Tan Sri Jins, satu nama besar waktu itu. Filem ini mengenai sejarah perjuangan polis mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 daripada serangan pengganas komunis ketika era sebelum merdeka.

"Filem ini satu kebanggaan kerana dihasilkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jins. PDRM berikan komitmen penuh untuk filem ini. Perjuangan polis yang kebanyakannya orang Melayu, bagi saya banyak meninggalkan kenangan," katanya kepada Harian Metro.

BERLAKON dalam filem Bukit Kepong turut menerbitkan semangat patriotik buat Yusof. FOTO KRU Studio
BERLAKON dalam filem Bukit Kepong turut menerbitkan semangat patriotik buat Yusof. FOTO KRU Studio

Yusof yang membawa watak Mata Mata Jaffar Hassan dalam filem itu berkata, semasa berlakon dia membayangkan betapa susahnya anggota polis yang mempertahankan kedaulatan negara dan balai polis, berjuang dengan anggota lain sehingga ada yang terkorban.

"Isteri mereka juga terkorban apabila bersama-sama mengangkat senjata untuk menentang pengganas komunis.

"Banyak pengalaman saya dapat walaupun tak terbabit dalam banyak babak. Penggambaran dibuat di tepi Sungai Lenga, tak jauh dari Bukit Kepong di daerah Muar, Johor.

"Ia membabitkan 150 anggota polis termasuk watak pengganas komunis. Tak nafikan saya banyak ambil pengalaman dengan Jins. Selama tiga bulan menjalani penggambaran, saya melihat banyak kegigihannya. Betapa seriusnya dia hasilkan filem itu," katanya berkenaan filem patriotik pertama lakonannya.

LAKONAN mantap Allahyarhan Jins dalam filem arahannya. FOTO KRU Studio
LAKONAN mantap Allahyarhan Jins dalam filem arahannya. FOTO KRU Studio

Yusof berkata, penerbitan filem Bukit Kepong menelan kos RM1 juta adalah tinggi berbanding kos biasa penerbitan filem Melayu ketika itu sekitar RM200,000 hingga RM300,000.

"Filem ini perlukan pelbagai keperluan termasuk set penggambaran. Kosnya dikeluarkan bersama. Penggambaran pula jauh di dalam hutan.

"Semua orang kena berkorban untuk filem ini. Peralatan bukan canggih seperti sekarang. Saya dapat tengok betapa gigihnya penggiat seni berjuang. Walaupun serba kekurangan masih buat yang terbaik," katanya.

Ditanya pengalaman yang sukar dilupakan, Yusof berkata, kakinya luka terkena serpihan belerang peluru yang digunakan dalam filem terbabit.

"Peluru banyak dililit pakai wayar dan diletakkan di dinding. Kami kena buat babak melompat dari tangga balai untuk turun kerana berlaku letupan. Apabila peluru meletup, kayu melekat terpelanting kena betis saya. Apapun, itu semua kenangan tak melemahkan semangat saya semasa berlakon," katanya.

ANGGOTA polis yang terkorban dalam peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.
ANGGOTA polis yang terkorban dalam peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Filem Bukit Kepong adalah berdasarkan kejadian sebenar peristiwa serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian itu, balai polis berkenaan diserang segerombolan 180 pengganas komunis bermula kira-kira jam 5 pagi.

Dalam kejadian itu, seramai 19 anggota polis termasuk ketua balai, Sarjan Jamil Mohd Shah terkorban. Turut terbunuh ialah tujuh orang awam termasuk keluarga anggota polis.

Seramai 40 pengganas komunis turut terbunuh dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:30 AM