LAGU Rahsia ditulis khas untuk drama Penjara Janji tiada kaitan dengan dirinya.
LAGU Rahsia ditulis khas untuk drama Penjara Janji tiada kaitan dengan dirinya.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA Zulin Aziz bukan saja mekar sebagai pengacara, pelakon dan pelawak, tapi siapa sangka dia juga berbakat besar dalam bidang nyanyian.

Dalam erti kata lain, Zulin adalah artis serba boleh yang berada di kelas tersendiri.

Malah, bidang nyanyian yang diceburi turut membuka ruang buat dirinya menghasilkan karya sendiri menerusi penciptaan lagu dan penulisan lirik.

Maka, terhasil empat single yang pernah dilancarkan sebelum ini iaitu Terbiar pada 2017, Keliru (2018), Dan Ketika Itu (2018) dan Jadikan Aku Yang Halal (2019).

Terbaharu, Zulin, 32, atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music melancarkan single Rahsia secara rasmi, semalam.

Serentak itu, ditayangkan juga muzik video lagu Rahsia di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Lagu Rahsia juga dipilih menjadi lagu tema drama Penjara Janji yang ditayangkan di Slot Samarinda, TV3 sepanjang Ramadan lalu.

Menurut Zulin, lagu ciptaannya itu ditulis khas untuk drama terbitan JS Pictures dan tiada kaitan dengan dirinya seperti kebanyakan lagunya sebelum ini.

RAMAI puji bakat Zulin selain karya yang dihasilkan mendapat maklum balas positif.
RAMAI puji bakat Zulin selain karya yang dihasilkan mendapat maklum balas positif.

"Lagu Rahsia ini saya buat sepenuhnya sendiri. Ia juga adalah lagu tema untuk drama Penjara Janji yang ditayangkan pada Ramadan lalu. Tapi, lagu ini dilancarkan lambat sedikit disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Lagu ini mengisahkan hubungan yang belum pasti. Banyak perkara yang belum jelas dalam perhubungan itu sampai dia tak tahu hala tuju perhubungan itu, sama ada ke alam perkahwinan atau sampai tahap itu saja. Tapi, dia pilih lelaki yang dia rasa selesa, sebab itu nama dia Rahsia.

"Kalau orang selalu dengar nanti, orang akan fikir lagu ini mengenai kekasih gelap, tapi bukan. Ia ada kena-mengena dengan drama Penjara Janji ini. Kalau lagu yang dulu memang dibuat khas untuk individu berkenaan, tapi lagu ini tak. Lagu ni sedih sangat nak ditujukan pada orang. Kiranya tak ada kena-mengena dengan diri saya pun," katanya.

Walaupun ramai memuji bakat nyanyian dimiliki selain karya yang dihasilkan itu mendapat maklum balas positif peminat muzik tempatan, Zulin mengakui pembabitannya dalam bidang nyanyian sekadar suka-suka.

"Kalau ikutkan menyanyi bukan fokus saya, ia sekadar suka-suka. Tapi, semua single yang saya hasilkan adalah untuk lagu tema drama. Ini mungkin rezeki saya menyanyi untuk lagu tema drama.

"Sejujurnya, tidak pernah terfikir untuk masuk Muzik Muzik atau Anugerah Juara Lagu (AJL), tak nak dan tak pernah terfikir sampai tahap itu pun. Diakui memang pernah ada pihak membuat tawaran untuk ke depankan lagu saya, cuma saya memang tak hantar pun lagu ke stesen radio dan sebagainya sebelum ini.

"Lagipun syarikat rakaman saya 17 Eleven Music tahu yang saya menyanyi bukan sejenis serius. Saya buat lagu sekadar untuk lagu tema. Tak ada fikir dan rasa nak pergi jauh dalam bidang ini. Sebab saya bukan penyanyi profesional. Boleh menyanyi, tapi tak bagus penyanyi sedia ada," katanya.

Mengenai lagu Rahsia, Zulin berkongsi yang mana lagu itu dihasilkan tahun lalu sebelum penggambaran drama dibuat.

Dalam masa sama, Zulin berkata, projek lagu lain mengikut perancangan yang sudah diatur pihak syarikat rakaman.

"Lagu ini saya buat tahun lalu sebelum penggambaran drama Penjara Janji. Saya ambil masa seminggu nak siapkan. Sebab lagu ini bukan berat dan susah. Ia mesra pendengar.

"Projek lagu lain selepas ini, perancangannya belum ada lagi. Cuma, disebabkan saya di bawah syarikat rakaman, jadi akan ada lagi lagu lain bergantung pada projek drama. Jadi, sekarang ini fokus pada perniagaan dalam talian dulu sebab masih tak boleh buat penggambaran.

"Tarikh penggambaran pula ditangguhkan dan tak tahu sampai bila. Mungkin sampai selepas habis PKP. Kalau masih tak boleh buat penggambaran, jadi teruskan berniaga saja," katanya.

HASIL lukisan Zulin.
HASIL lukisan Zulin.

Hobi melukis

Selepas menyanyi, Zulin mengetengahkan bakat baharu dalam bidang lukisan pula apabila mula berjinak-jinak dalam 'digital art'.

Hasil lukisannya itu dimuat naik di Instagram di mana dia melukis wajah penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Erra Fazira. Selain itu, ada wajah pelakon Bollywood, Preity Zinta.

Menurut Zulin, dia hanya belajar menerusi tontonan di YouTube sejak seminggu lalu.

"Sebenarnya baru seminggu belajar 'digital art' di YouTube. Segan sebenarnya, kalau ikutkan letak Instagram tu nak tunjuk proses pembelajaran saya. Kalau tengok, lukisan saya berubah-ubah. Setiap hari belajar teknik berbeza.

"Jadi, malu sebenarnya kalau orang nak beli, sebab tak sedia lagi sebab baharu sangat belajar. Jadi, bila orang tempah, saya menjadi segan. Bagi saya belajar dulu. Seminggu ini masih terlalu awal nak menilai.

"Sekarang ini seronok nak mencuba. Saya pun tak ada cikgu yang ajar. Saya tengok tutorial saja macam mana nak lukis. Sebenarnya ada banyak lagi saya nak teroka. Insya-Allah kalau dah mahir nanti, mana tahu rezeki, boleh saja nak terima tempahan," katanya.

Menurut Zulin, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi pelukis sebaliknya menjadikan ia hobi baharu.

"Tak terfikir pun nak menjadi pelukis. Ia hanya hobi bosan-bosan, bukan untuk serius. Cuma mungkin selepas ini boleh guna pakai dalam produk dari segi nak buat logo atau karikatur untuk syarikat. Sebab senang saya sudah belajar dan ada asas. Ini motif utamanya pun saya belajar 'digital art' ini. Tapi, alang-alang menyeluk pekasam, kita cuba buat semuanya," katanya.

Ditanya sama ada dia sudah mula menerima tempahan, Zulin mengakui mendapat banyak permintaan.

"Masya-Allah ada ramai yang nak buat tempahan, tapi saya segan. Ada warganet siap buat permintaan lukis wajah artis kesayangan mereka.

"Ada juga dalam kalangan kawan minta saya melukis, tapi tak buat lagi. Kawan saja sudah berapa nak kena siapkan. Insya-Allah, kalau ada waktu lapang nanti baharu saya lukis mereka punya satu persatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:40 AM