Georgie Joseph


NAMA Nabila Razali cukup hangat diperkatakan baru-baru ini.

Kegagalannya memberi persembahan baik menerusi lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) ibarat mimpi ngeri bagi segelintir pihak.

Bagaimanapun, Nabila, 29, berpandangan sebaliknya. Dia tidak melihat kejadian itu sebagai kegagalan atau kejatuhan.

Pengalaman itu hanya menyemarakkan lagi semangatnya untuk mengejar impian sebagai anak seni berkaliber.

Bagi anak jati Kuala Lumpur yang juga pelakon ini, sekarang tiada lagi rasa ragu-ragu untuk dia melangkah lebih yakin mengorak kerjaya seninya.

Dia sudah merasai semua jenis cemuhan, tohmahan dan sebagainya menyebabkan hatinya lebih kebal.

Menurut Nabila, dia menyedari itulah asam garam yang sebenarnya menjadikan perjalanannya jauh lebih bermakna sebagai artis sekarang.

Oleh itu, dia cuma mahu fokuskan kepada kualiti kerja saja buat masa sekarang.

"Tiada penyesalan langsung atau rasa ingin mengalah daripada apa yang menimpa saya selepas insiden itu. Jauh sekali ingin meratapi serta merasai kejatuhan kerana pengalaman itu sudah tidak memberi kesan.

"Saya reda menerima segala cemuhan yang dilontarkan. Saya tukarkan perkara itu kepada aura positif berbanding terlalu memikirkannya. Kini saya sudah tidak perlu gentar lagi untuk melalui apa juga dugaan mendatang.

"Di fikiran saya cuma mahu memanfaatkan segala tawaran rezeki yang datang dengan memberikan kualiti kerja 100 peratus. Ini periuk nasi saya yang perlu dijaga rapi tanpa perlu dipengaruhi dengan kata-kata tidak membantu daripada orang lain," katanya.

Melihat tutur bicaranya, jelas sekali Nabila begitu kuat bangkit daripada insiden AJL35 itu. Tidak terpancar pun ekspresi muram sebaliknya setiap jawapannya begitu yakin menepis dakwaan dirinya tidak bagus.

Menyentuh terperinci mengenainya, dia mengakui pengalaman itu adalah detik terindah dalam kerjayanya sebagai penyanyi setakat ini. Dia bersyukur belajar sesuatu daripadanya walaupun dipandang sinis orang lain.

"Seperkara yang pasti, saya belajar bahawa bukan semua yang duduk semeja, berborak baik dengan kita adalah kawan sebenar. Selepas insiden itu, barulah saya tahu siapa kawan, siapa lawan.

"Ada yang saya tidak sangka langsung akan berbicara negatif mengenai saya sedangkan mereka kawan saya. Hakikatnya, orang lain di luar sana atau yang berada jauh pula memberi kata-kata semangat buat saya.

"Apa-apa pun, tidaklah sampai ke tahap saya ingin berdendam terhadap mereka. Lagipun, saya tak buat salah dan hanya lakukan sendiri yang terbaik dalam kerjaya saya. Cuma saya harap hal menjatuhkan sesama artis takkan berleluasa kerana kami berkongsi periuk nasi sama," katanya.

Nabila juga mengakui gagal menahan emosi selepas persembahannya tidak menjadi seperti dirancang. Baginya, perkara itu paling dikesalkannya apatah lagi dia berjanji untuk memberi keadilan kepada lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini itu.

"Memang saya menangis sebaik saja persembahan itu. Saya sudah sedaya upaya membuat persiapan kerana mahu memberikan persembahan terbaik lebih-lebih di pentas sangat besar sebegitu.

"Tapi itulah, ia memang nak jadi. Saya pun manusia biasa yang tidak mampu nak kawal segala-galanya dan jika ditakdirkan begitu, maka demikianlah kejadiannya. Apa yang pasti, saya akan jadikan hal itu pedoman berguna untuk masa depan pula," katanya.

Ditanya adakah dia serik untuk menyanyikan lagu berentak balada berat selepas ini, Nabila cuma tertawa kecil. Dia mengakui apa saja yang diputuskan dalam kerjaya nyanyiannya adalah berdasarkan penilaian terbaik.

"Buat apa nak serik? Sebagai penyanyi, saya tidak mahu menolak kalau sudah dapat lagu yang sangat baik dan kena pada jiwa. Apa-apa pun, saya sudah tahu tahap kemampuan vokal dan daripada aspek itu akan sesuaikan sebaik-baiknya.

"Menyanyi adalah kerjaya yang saya sangat cintai dan ingin terus ceburi selagi masih berada dalam bidang seni. Saya takkan mengalah atau terfikir untuk mengundur diri kerana pengalaman itu baru saja permulaan bagi terus melakar jauh nama saya," katanya.

AMBIL iktibar daripada insiden menghampakan di AJL35.
AMBIL iktibar daripada insiden menghampakan di AJL35.

Makin serius berniaga

Nabila yang ditemui pada majlis pelancaran kek lapis Sarawak premium jenama Big Mouth X Nabila Razali nampaknya semakin bersungguh-sungguh menceburi bidang perniagaan.

Jenama kek itu juga dilancarkan selepas kejayaan perniagaan ayam gorengnya, AYO!

Berkongsi mengenainya, dia tidak menafikan fokus kepada perniagaan sendiri itu akan dirancakkan lagi. Menurutnya, perniagaan jugalah memberi dia semangat untuk terus bangkit meluaskan empayarnya.

"Saya sangat gembira apabila semakin mendapat pendedahan mengenai dunia perniagaan ini. Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak, saya dapat rasakan perniagaan mengajar banyak perkara.

"Disebabkan itulah saya cukup yakin untuk menerajui beberapa perniagaan termasuk kek lapis Sarawak pula. Bagi saya, perniagaan memberi kepuasan yang lebih berbeza daripada kerjaya seni," katanya.

Sementara itu, Nabila juga mengakui kerjayanya sekarang lebih banyak ditumpukan kepada memenuhi tanggungjawab kepada pelanggan antaranya untuk jenama yang menampilkannya sebagai duta.

Oleh itu, dia mahu memperlahankan sedikit pembabitannya dalam lakonan bagi memberi laluan kepada tugasan itu.

Untuk nyanyian, dia kini dalam proses mencari lagu baharu untuk dipertaruhkan pada tahun ini selepas Peluang Kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:00 AM