Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang daripada dua lelaki yang disyaki terbabit dengan kes samun di flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, di sini, Isnin lalu.

Susulan itu, satu lakaran wajah suspek yang dianggarkan berusia 30-an diedar bagi perhatian orang ramai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, fotofit itu dibuat berdasarkan keterangan saksi utama kes dan akan membantu pasukannya mengesan suspek.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat di talian 04-2825922 sambungan 228," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, surirumah berdepan detik cemas selepas dua penyamun menyorokkan bayi lelakinya berusia tiga bulan dalam tong putih, dalam keadaan mulut disumbat dengan tuala kecil sebelum dipelekat selepas suspek gagal mendapatkan wang tunai sebanyak RM50,000 daripada wanita berkenaan.

SOFFIAN menunjukkan fotofit suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian samun. FOTO Danial Saad
SOFFIAN menunjukkan fotofit suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian samun. FOTO Danial Saad

Menyamar sebagai penghantar barangan, seorang daripada suspek kemudian bertindak mengeluarkan pisau dan meminta supaya wanita terbabit tidak menjerit sebelum mengambil rantai emas milik mangsa bernilai RM1,200 di dalam rumah berkenaan.

Seorang lagi anak perempuan mangsa berusia tiga tahun tidak diapa-apakan suspek manakala suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Batu Kawan, di sini.

Dalam perkembangan lanjut Soffian berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai ke rumah mangsa di tingkat lima flat itu menerusi laluan tangga.

"Ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lif flat berkenaan, tidak menunjukkan kedua-dua suspek menaiki lif ketika kejadian.

"Orang ramai dinasihati supaya berwaspada dengan individu yang mendakwa penghantar barangan di rumah dan sebaiknya tidak perlu membuka pintu sekiranya curiga dengan kehadiran mereka," katanya lagi.

Berita berkaitan:

  • Gagal dapat wang RM50,000, penyamun sorok bayi dalam tong
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:44 PM