TINIE gembira peminat puji lakonannya dalam 10 Tips Tipu Bini.
TINIE gembira peminat puji lakonannya dalam 10 Tips Tipu Bini.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI nama Amy Nur Tinie Abdul Aziz tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang permodelan dan ratu cantik kerana sudah banyak kejayaan yang dikecapinya.

Gadis yang membahasakan dirinya dengan panggilan Tinie ini, sudah meraih pelbagai kejayaan antaranya gelaran Miss Malaysia Kebaya 2016, Juara Projek Bliss Bintang Bliss 2016, Juara Pencarian Ratu Festival Kerja Kahwin Utara 2015, 16 peserta akhir Miss Perak Tourism 2015, Juara KBJ Ratu Kebaya 2015, Pemenang Ngam Bersama Clean & Clear 2014, Pemenang Pencarian Model Festival Pengantin Taiping 2014, Pemenang kedua Dream Car Expo Model Search 2014 dan Juara Gadis Metro 2011.

Bagaimanapun, kini Tinie turut menyerlah dalam kerjaya seninya sebagai hos program Tumit Tinggi dan Santai Jer untuk RTM.

Gadis berdarah kacukan Arab di sebelah bapa dengan ketinggian 173 sentimeter ini, mula melebarkan langkah dalam lakonan pula apabila terbabit membintangi filem 10 Tips Tipu Bini terbitan Rumah Produksi Merah milik Datuk Awie yang disiarkan menerusi Astro First sejak 7 Januari lalu.

Tinie, 25, berkata, dia gembira apabila dapat melangkah masuk ke dalam bidang lakonan, selepas aktif mengacara program TV.

"Ikutkan memang tiada keyakinan dalam lakonan kerana bakat saya lebih terarah kepada bidang pengacaraan dan model peragaan.

"Namun, kebetulan saya kenal dengan pengurus produksi filem ini. Dia minta saya cuba nasib datang uji bakat yang diadakan oleh pihak penerbit.

"Saya pergi dan tak letakkan harapan yang tinggi pun. Ini kerana, dalam fikiran tertanya-tanya bolehkah saya berlakon dengan baik?" katanya.

Ternyata rezeki menyebelahi Tinie apabila seminggu selepas itu dia mendapat jawapan diterima berlakon dalam filem berkenaan.

"Saya fikir positif sahaja, mungkin ini permulaan untuk cuba nasib dalam lakonan. Bila dah mula berlakon, saya rasa insya-Allah boleh buat.

"Cuma banyak lagi nak kena belajar untuk menghayati watak dan serlahkan bakat yang ada," katanya yang melakonkan watak Eisya, seorang pelajar pelatih dalam filem itu.

"Alhamdulillah, ada kesannya bila saya berlakon filem 10 Tips Tipu Bini terutama peningkatan pengikut di media sosial.

"Tawaran berlakon dengan produksi lain pun dah mula datang. Syukur alhamdulillah, saya juga baharu selesai penggambaran drama untuk TV AlHijrah dan selepas ini terbabit pula dalam satu telefilem dan hos program RTM.

"Saya orang baharu dan masih banyak kena belajar. Namun, saya bersyukur kerana penerimaan peminat kini sangat bagus dan di luar jangka.

"Paling penting, mereka dapat faham watak saya sebagai 'gadis blur' dalam filem itu. Saya jadi budak muda 'intern' yang ada rupa tapi macam lambat nak menangkap sesuatu maksud.

SERONOK apabila mula terbabit dalam lakonan.
SERONOK apabila mula terbabit dalam lakonan.

"Ia amat penting, kerana apabila berlakon kita nak sampaikan watak supaya diterima. Bila dapat maklum balas yang bagus, saya dikira berjaya," katanya yang turut membintangi drama Mak Abang Nak Kahwin dan filem Sue On.

Teruja watak antagonis

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah juga dengan rezeki diperoleh Tinie yang mana, bakat lakonannya kini menyerlah 'sekelip mata'.

Meski dia sering disalah anggap sebagai pelakon Putri Aishah dan Rozita Che Wan kerana memiliki iras wajah sama, setakat ini Tinie pernah melakonkan beberapa watak sebagai percubaannya iaitu 'gadis blur', pontianak dan wanita kepoh.

Apapun, dia kini teruja akan melakonkan watak antagonis dalam satu lagi filem terbaharunya akan datang.

"Bagi saya, setiap watak ada cabarannya sendiri. Kalau diberi peluang saya teringin nak berlakon pelbagai genre filem atau drama aksi.

"Bagaimanapun kalau nak lebih cepat dikenali, memegang watak antagonis adalah salah satu caranya. Saya tidak menolak, jika terus diberikan watak sebegini.

"Selalunya yang kerap dibenci dan dikecam itu yang cepat dikenali. Tapi, biarlah dengan cara yang betul," katanya yang mempunyai sikap 'happy go lucky' dan ramah berbicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:00 AM