GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu berada di pejabat selama empat jam sahaja bermula 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

Bidang tugas itu membabitkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan itu, sebaliknya majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, majikan perlu menetapkan garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.

"Berdasarkan sistem pangkalan data MITI Covid-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya seramai 3.1 juta orang.

"Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pihak industri memperkenalkan dasar BDR atau Work From Home (WFH) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik Covid-19 terutama di kawasan sedang menjalani PKPB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sidang Khas MKN semalam membincangkan maklum balas dan situasi terkini pandemik Covid-19.

Sebagai langkah preemptive untuk membendung penularan wabak itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP iaitu dengan menghadekan pergerakan orang ramai terutama di Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai jumlah penduduk padat dan antara hab perindustrian utama negara.

Mohamed Azmin berkata, maklum balas diterima daripada industri, seramai 776,135 pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan dan kumpulan ini diwajibkan untuk BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN.

"Sebagai kerajaan prihatin dan bertanggungjawab, keseimbangan di antara perlindungan kesihatan awam dan kelangsungan aktiviti ekonomi penting untuk dicapai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 11:32 AM