PEMANDANGAN udara Sungai Semenyih (Gambar sekadar hiasan). FOTO Arkib NSTP
PEMANDANGAN udara Sungai Semenyih (Gambar sekadar hiasan). FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas loji ini akan menyebabkan 273 kawasan terjejas, membabitkan 309,605 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Gangguan ini membabitkan empat wilayah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

"Air Selangor sudah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak anak sungai di sekitar Sungai Semenyih sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas berikutan insiden ini.

"Pada masa ini kami masih belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Sila rujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook Twitter, Instagram Air Selangor dan laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:56 PM