Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Seperti merindui tuannya, kucing jantan diberi nama Nana hampir setiap hari mengunjungi pusara pemiliknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh di sini, sejak dua tahun lalu.

Kucing itu dilihat mengunjungi pusara yang terletak kira-kira lima meter dari rumah Allahyarham Ab Aziz Ismail setiap pagi, malah ia bagaikan rutin harian buat haiwan itu.

Selain menziarahi kubur, Nana yang berusia enam tahun turut menghabiskan masa di atas kereta peninggalan arwah selain buaian yang menjadi tempat kegemaran arwah.

Isteri arwah, Hasnah Che Amat, 68, berkata, Nana dijaga mereka sekeluarga sejak dilahirkan dan menjadi binatang kesayangan suaminya yang meninggal dunia pada Julai 2018, akibat komplikasi buah pinggang.

"Ketika hayat suami, Nana banyak menghabiskan masa dengan suami dan lebih menyentuh hati, setiap hari ketika solat Subuh, kucing itu akan setia menunggu arwah pulang dari masjid di pagar rumah.

"Suami saya sering memberinya makan selepas pulang dari masjid dan mungkin disebabkan itu hubungan mereka cukup akrab sehinggakan kematian suami masih dirasai Nana sehingga kini," katanya ketika ditemui di Kampung Paloh.

Pesara guru itu berkata, sejak suami meninggal dunia, selama 40 hari mereka sekeluarga akan ke kubur untuk membacakan Yassin dan setiap pagi mereka sampai ke lokasi, kucing berkenaan sudah terlebih dahulu tiba.

"Setiap pagi sebelum kami sampai, Nana sudah sampai dan dia akan duduk di atas kubur di bahagian kepala. Bermula dari situlah kami melihat keajaiban kasih sayang antara Nana dan arwah suami.

"Malah, sehingga kini setiap pagi Jumaat kami akan menziarah kubur, tentunya Nana yang akan sampai dahulu. Bagi saya, kucing ini sangat istimewa buat kami sekeluarga dan akan menjaganya dengan baik," katanya.

Mengulas lanjut, Hasnah berkata, dalam tempoh tiga bulan kematian suami, keadaan Nana agak menyedihkan kerana dia hilang selera makan.

"Namun, selepas itu keadaannya kembali pulih dan Nana banyak menghabiskan masa di atas kereta arwah suami. Sehingga kini, setiap kali saya bercucuk tanam di belakang rumah, Nana akan setia menunggu saya sehinggalah saya masuk ke dalam rumah," katanya.

Hasnah berkata, dia tidak menyangka minat arwah suami yang memelihara pelbagai jenis binatang ternyata menunjukkan sesuatu yang luar biasa walaupun sudah meninggal dunia.

"Inilah orang kata bila kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk haiwan, mereka akan sentiasa mengenangkan kita," katanya.

SELAIN Hasnah dan keluarga, Nana si kucing setia dan paling awal menziarah pusara Ab Aziz setiap pagi.
SELAIN Hasnah dan keluarga, Nana si kucing setia dan paling awal menziarah pusara Ab Aziz setiap pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 2:44 PM