Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 12 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,976 kes.

Satu kematian turut direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 di negara ini adalah seramai 125 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu itu lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

"Lima kes import itu dari Indonesia, Qatar dan United Kingdom manakala tiga kes dilaporkan di Kuala Lumpur, satu kes di Johor dan satu kes di Sarawak.

"Tujuh kes penularan dalam negara membabitkan lima dalam kalangan warganegara dan dua bukan warganegara.

"Dua kes saringan pra pembedahan di Johor, Kluster PUI Sivagangga di Kedah (2), saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor (1), saringan di lokap (1) dan satu kes kematian dikesan positif Covid-19 selepas dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini terdapat tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mencatatkan 27 kes yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad, dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 8,644.

Mengenai kes kematian ke-125, katanya, mangsa adalah lelaki warga Filipina berusia 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

"Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai namun tidak mendapatkan rawatan.

"Pada 29 Julai, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah serta disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan beliau positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:01 PM