FOTO tular menunjukkan Jihad memanjat dinding hospital untuk melihat ibunya.
FOTO tular menunjukkan Jihad memanjat dinding hospital untuk melihat ibunya.
Agensi

Tebing Barat: Memilukan apabila seorang pemuda Palestin sanggup memanjat dinding untuk melihat ibunya yang dirawat di hospital akibat Covid-19.

Ketika itu, ibunya, Rasmi Suwaiti, 73, dimasukkan ke unit rawatan rapi (lCU) di Hospital Hebron di sini.

Sebaik tiba di tingkat yang menempatkan wad berkenaan, Jihad Al-Suwaiti hanya memandang ibunya dari luar tingkap.

Bagaimanapun, Rasmi dikatakan meninggal dunia, Khamis minggu lalu.

Wanita itu menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas anaknya memanjat dinding hospital dan melawat ibunya itu.

Kisah meruntun hati lelaki berusia 30-an dari bandar Beit Awa di sini itu tular selepas dimuat naik pengguna Twitter.

Ia dilaporkan dalam media tempatan termasuk Al Nas dan media antarabangsa seperti NDTV.

Ia turut dikongsi wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikenali sebagai Safa.

"Pemuda itu memanjat ke tingkap wad hospital semata-mata menjenguk ibunya setiap malam sebelum wanita itu meninggal dunia," ciap Safa menerusi akaun Twitternya.

Dalam pada itu, Arabic Post melaporkan pemuda itu memberitahu dia duduk di luar tingkap kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam wad berikutan keadaan ibunya semakin kritikal.

"Saya duduk di luar wad lCU untuk melihat saat terakhirnya," katanya

Sementara itu, seorang warganet menyifatkan tindakan pemuda berkenaan bukti dia anak baik.

"la membuatkan saya menitiskan air mata melihat kasih sayang terhadap ibunya. Menyedihkan dan memberi inspirasi," ciapnya.

Difahamkan, Rasmi menghidap leukimia sewaktu disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:29 AM