REZEKI Ain sepanjang PKP tidak terjejas teruk apabila kandungan di platform digital laris. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
REZEKI Ain sepanjang PKP tidak terjejas teruk apabila kandungan di platform digital laris. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin

BERTEMU jodoh dengan suami tercinta, Amirul Hafiz Mustaffa, 27, ketika kerjaya sebagai pengacara dan pelakon semakin dikenali, Ain Edruce, 28, pernah terfikir apakah dia akan terus diterima peminat?

Bagaimana pula hala tuju karier sama ada terus menyerlah atau merudum? Perkara itu diakui berlegar seketika di fikiran Ain, tetapi dia yakin perancangan Allah lebih baik.

Menurut pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3 ini, dia bersyukur rezeki diterima selepas berkahwin lebih banyak. Malah, pengikutnya di media sosial dan platform digital pun semakin ramai.

Setakat ini, pengikut Ain di Instagram mencatat jumlah 1.1 juta orang manakala saluran YouTube pula mengumpul 364,000 pelanggan dan ia pencapaian tak diduganya.

Ain berkata, dia sangat berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang mengikutinya di media sosial serta platform digital.

Dia juga gembira menjadi pengguna kemudahan teknologi yang berhemah.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan kita diminta duduk di rumah, ruang masa yang banyak itu saya gunakan dengan membuat kandungan siaran YouTube.

"Alhamdulillah, rezeki saya tidak terjejas teruk kerana kandungan siaran di YouTube itu sangat mendapat perhatian. Apatah lagi, aktiviti cabaran yang dikongsi kepada penonton cukup menceriakan.

"Malah, saya menjadi diri sendiri dengan menampilkan keseronokan, gelak tawa dan emosi yang spontan dalam persembahan kandungan disiarkan itu. Ia bukan lakonan atau sengaja dibuat-buat untuk daya tarikan," katanya.

Keperibadian diri yang ceria membuatkan Ain senang didekati dan cepat mesra. Sikap tidak sombong dan ramah berbicaranya membuatkan wanita ini sangat disenangi.

Baru tujuh bulan mendirikan rumah tangga, Ain yang ditanya mengenai cahaya mata berkata, dia menyerahkan rezeki itu kepada ketentuan Allah.

SUDAH terbiasa dan situasi bekerja mengikut SOP yang bukan lagi bebanan atau tekanan baginya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SUDAH terbiasa dan situasi bekerja mengikut SOP yang bukan lagi bebanan atau tekanan baginya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan memiliki anak dan keluarga. Begitu juga dengan saya dan suami. Cuma, tak nafikan sekarang aktiviti kerjaya saya terlalu padat dengan rakaman program TV.

"Selain itu, saya juga akan kembali ke set penggambaran siri baharu sitkom JKK tidak lama lagi. Diikuti pembabitan dalam acara lumba kereta bersama Toyota. Jadi, saya terdedah dengan banyak aktiviti lasak," katanya.

Mengulas juga aktivitinya di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana dahulu, Ain berkata, dia banyak belajar memasak daripada suaminya. Ia juga peluang memupuk kasih sayang lebih erat dalam rumah tangga.

"Walaupun pandemik Covid-19 ini berbahaya, jika dilihat dari sudut positif ia memberi peluang kepada kita yang sentiasa sibuk bekerja selama ini untuk meluangkan banyak masa bersama keluarga.

"Malah, sekarang dalam normal baharu kehidupan kita lebih mengutamakan kebersihan dan penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan kekerapan membasuh tangan serta memakai pelitup muka," katanya.

Menurut Ain, walaupun pada mulanya dia kurang selesa, apabila sudah tiga bulan mengamalkan gaya hidup normal baharu itu, ia begitu menyenangkan.

Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP)

Berikutan kerajaan membenarkan industri hiburan aktif semula dengan aktiviti penggambaran dan rakaman boleh dilakukan sejak 10 Jun lalu, Ain kini terbabit dengan satu program baharu terbitan TV3.

Katanya, dia sekarang menyiapkan penggambaran program TV berjudul Immortal Song yang memberikan pengalaman bekerja baharu.

Menurut Ain, dia bekerja dalam situasi mengikut SOP.

"Kalau sebelum ini boleh bersalaman dan memeluk rakan sekerja wanita apabila bertemu di lokasi, sekarang nampaknya saya perlu meletakkan tangan kanan di bahagian kiri dada serta tundukkan kepala saja.

"Agak lucu juga, tetapi ia adalah antara normal baharu dalam budaya kerja pada masa kini. Tidak boleh bersentuhan dan duduk pun perlu mengikut penjarakan sosial," katanya.

Menurut Ain, dia sudah terbiasa dan situasi bekerja mengikut SOP yang bukan lagi bebanan atau tekanan baginya.

Kata wanita tinggi lampai ini, dia makin selesa dan serasi dengan budaya baharu.

"Dalam keadaan dunia masa kini, wabak penyakit terlalu banyak. Jadi, demi penjagaan kesihatan diri dan langkah pencegahan awal, lebih baik patuh pada SOP ditetapkan.

"Lapangkan fikiran dan doa yang baik-baik saja. Itulah yang saya lakukan dan alhamdulillah segala urusan kerja dapat dibuat dengan tenang. Bagi saya, perkara yang baik tidak perlulah dipersoalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:00 AM