RAYSHA sentiasa berhati-hati dengan kehidupan peribadinya sebagai selebriti.
RAYSHA sentiasa berhati-hati dengan kehidupan peribadinya sebagai selebriti.
Najiy Jefri

MENGINJAK usia 24 tahun pada 22 Jun lalu, pelakon Raysha Rizrose diraikan dalam satu majlis kejutan di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Raysha mengakui terkejut apabila seluruh anggota keluarganya berkumpul untuk menyambut ulang tahun kelahirannya itu.

Tidak terkecuali teman lelakinya yang juga pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri turut hadir.

Raysha berkata, pada usia 24 tahun ini dia mengharapkan kehidupan yang lebih baik dan menjadi anak yang solehah.

"Saya ada beberapa impian yang ingin dicapai sebelum menjengah usia 25 tahun. Namun saya tidak boleh berkongsi kepda umum lagi. Saya ingin pastikan segala yang dihajati disempurnakan terlebih dahulu baru saya akan kongsikannya.

"Pada usia ini, tiada apa yang saya harapkan selain diberi kesihatan yang baik dan ingin memperbaiki diri kelemahan diri.

"Sebolehnya saya ingin menjadi contoh yang baik kepada keluarga dan peminat. Saya akui perjalanan saya dalam bidang ini masih panjang dan banyak liku yang ditempuh," katanya.

Selesa tiada kontroversi

Bersih tanpa cerita panas dan kontroversi, Raysha mengakui dirinya bukan yang gemar terlalu terbuka berkongsi privasi dirinya.

Menurut Raysha, dia juga tidak suka ambil tahu hal orang lain atau perlu menjwab sebarang isu yang tiada kena-mengena dirinya.

"Mungkin sikap saya begini sejak dulu. Saya suka simpan apa yang saya lalui untuk diri sendiri saja. Kalau perasan pun tidak banyak kisah peribadi saya kongsikan kepada peminat. Saya tak suka orang luar memberi perhatian terhadap kisah peribadi terlalu banyak.

MENYAMBUT ulang tahun ke-24 pada 22 Jun lalu.
MENYAMBUT ulang tahun ke-24 pada 22 Jun lalu.

"Saya lebih selesa menjalani kehidupan yang normal saja. Lagipun saya jarang aktif di media sosial.

"Malah, kalau ada media cuba dapatkan kenyataan saya untuk perkara yang tiada kena-mengena, saya seboleh-bolehnya akan mengelak memberi jawapan kerana saya tidak suka mencampuri urusan orang lain," katanya.

Sengaja menebak soalan adakah dia seorang wanita yang matang sebelum usianya, Raysha menolak tanggapan itu sebaliknya memberitahu dia seorang yang 'introvert'.

"Nak kata matang awal tidak juga sebab saya masih jalani kehidupan seperti rakan lain yang sebaya usia dengan saya. Malah, saya juga masih suka melakukan aktiviti yang orang lain masih buat. Cuma mungkin saya seorang yang 'introvert'.

"Kalau ada orang bercakap pasal saya, apa yang saya suka buat adalah tidak terlalu ambil pusing. Lebih baik saya diam daripada berkata-kata. Bagi saya, kalau sesuatu perkara itu tidak memberi manfaat kepada diri, lebih baik saya tidak kongsikan di media sosial. Barangkali itu prinsip yang saya pegang," katanya.

Tambah Raysha, dia sentiasa berhati-hati dengan kehidupan peribadinya sebagai selebriti.

Katanya, dia tidak suka dirinya sesuka hati menjadi mangsa fitnah atau disengaja disensasikan.

"Kalau ada komen negatif yang terlampau dan boleh dijadikan 'headline' berita saya akan memadamnya. Ini kerana, saya tidak mahu memberi ruang kepada sesiapa untuk bercerita hal buruk mengenai diri saya.

"Soal menonjol atau tidak, itu susah untuk saya jawab kerana saya lebih suka cakap mengenai diri saya saja. Saya tidak terlalu terbuka dan tak suka nak kongsi hal remeh," katanya

Bercerita lanjut mengenai hala tuju dalam karier seni tanah air, Raysha berkata, dia bakal tampil dengan sebuah lagu baru untuk runut bunyi sebuah filem Seandainya Kau Ada.

"Menerusi filem Zeel Production Sdn Bhd saya ditawarkan berlakon dalam filem Seandainya Kau Ada. Jadi saya akan menyumbang satu lagu untuk dijadikan runut bunyi filem terbabit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Raysha berkata, dia bakal menjalani penggambaran drama bersiri bersama pelakon tersohor, Zul Ariffin untuk TV3.

"Kali pertama nak bergandingan dengan Zul dalam drama berjudul Ryan Aralyn. Insya-Allah drama ini mulakan penggambaran pada 1 Julai ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:00 AM