SOAL jodoh, biar dulu dan Sissy serah pada ketentuan Yang Esa.
SOAL jodoh, biar dulu dan Sissy serah pada ketentuan Yang Esa.
Norhayati Nordin


WALAUPUN namanya belum berada pada tahap popular, namun sekurang-kurangnya penyanyi Sissy Imann Mohammad Kamil, 26, bersyukur dengan pelbagai peluang kerja diperolehnya tahun lalu.

Ketka ada segelintir daripada kita sedih kerana hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, Sissy pula dilihat mendapat pelbagai peluang sama ada menyanyi, berlakon mahupun mengacara.

Mengulas mengenainya, gadis yang baharu tujuh tahun memahat nama dan bakat dalam kerjaya seni ini menyifatkan segala tawaran diterimanya itu adalah rezeki ditetapkan Allah SWT.

"Saya gembira dan amat bersyukur dengan perjalanan karier seni ketika ini dengan peluang rezeki diterima, alhamdulillah tidak putus. Bagi saya, ia petanda positif kerana nama serta bakat dimiliki ini makin dikenali.

"Tolak ke tepi soal populariti kerana saya tahu saya masih belum sampai ke tahap itu, Namun, apa yang pasti saya gembira kerana berjaya menerokai cabang seni lain daripada nyanyian, muzik dan penciptaan lagu.

"Rezeki sebagai pengacara karpet merah serta menemu bual rakan selebriti lain di belakang pentas Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) pada 13 November tahun lalu adalah pengalaman pertama buat saya.

"Biarpun timbul isu pakaian yang digayakan mendapat kritikan hebat netizen di media sosial, namun semua itu tidak begitu lama berbekas di hati. Kurang sehari, saya boleh menerima segala kecaman itu," katanya

Menurut Sissy, mengapa hatinya cepat tenang menerima kecaman diberikan itu, berikutan melihat dia hanya dikritik hebat netizen dari segi penampilan, tetapi bakat pengacaraannya diterima baik dan tidak dipersoalkan.

"Setakat pakaian apalah sangat walaupun ia hasil sentuhan kreatif daripada ayah saya. Bagi saya, pakaian itu tetap cantik dan menawan di mata kerana ia dihasilkan ikhlas oleh seorang ayah.

"Pedulilah apa orang nak cakap pun ketika itu kerana sebagai anak saya bangga dan gembira memakai pakaian berkenaan. Ditambah, ia memiliki nilai kasih sayang keluarga yang tersendiri," katanya.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, dia juga selesa pergerakannya ke mana sahaja sentiasa ditemani seluruh ahli keluarga di sisi dan dia sudah terbiasa dengan keadaan itu.

Mengulas kerjaya nyanyiannya, Sissy berkata, dia masih aktif sama ada menyanyi, bermain muzik atau mencipta lagu. Iham mencipta lagu itu nyata tidak boleh disekat.

"Setiap tahun saya lancarkan lagu, cuma ada yang mesra pendengar dan sebaliknya. Kebanyakan lagu saya sebenarnya lebih mendapat peluang menjadi lagu tema drama dan filem.

"Tahun lalu lagu Tak Gundah hasil ciptaan saya dipilih sebagai lagu tema filem Aku Bukan Gila terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd. Ia memang rezeki tak diduga," katanya.

Menurut Sissy, kegigihannya berusaha membina nama dan bakat kerana minat yang mendalam.

Katanya, setakat ini dia berpuas hati kerana apa yang dilakukan membuahkan hasil cukup positif.

AMBIL peluang, Sissy akui kini lebih memilih fokus pada kerjaya.
AMBIL peluang, Sissy akui kini lebih memilih fokus pada kerjaya.

Belum temui cinta

Menyedari kebanyakan rakan sebayanya ada yang sudah berkahwin dan memiliki keluarga, Sissy tidak menafikan dia juga mempunyai impian sebegitu di masa depan.

Cuma, pada masa sekarang dia tidak terfikir lagi mahu bercinta kerana belum puas membantu ibu bapa dan membahagiakan keluarganya.

Menurut Sissy, dia sentiasa yakin dengan jodoh.

"Ketika ini, saya sebenarnya masih lagi belum puas bersama dengan ibu bapa dan keluarga. Saya ingin lagi terus bermanja-manja dengan mereka kerana hubungan kami sangat rapat.

"Ibu dan bapa saya tidak pernah menyekat atau mengongkong saya berkawan dengan lelaki. Bagaimanapun, buat masa ini saya sendiri selesa berkawan dengan semua orang. Untuk serius, rasanya belum lagi kerana masih banyak yang saya mahu capai dahulu dalam karier. Saya mahu memastikan benar-benar dapat berbakti dengan ibu bapa dan keluarga dahulu," katanya.

Menurut Sissy, cinta dan perkahwinan adalah dua perkara yang memerlukan dia berfikir sscara matang. Apapun, pada ketika ini dia sangat selesa fokus pada kerjaya seninya.

Jelas Sissy, ibu bapanya juga sangat memahami minat dan tahu apa impian yang ingin dicapainya dan soal jodoh biarlah Allah sahaja yang tentukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 6:00 AM