Raja Noraina Raja Rahim


MALAYSIA menjadi antara negara yang dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan ubat merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dihubungi WHO untuk menyertai penyelidikan di peringkat dunia itu.

“KKM dipilih sebagai salah satu pusat menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan ubat terbaru dikenali ‘remdesivir’ untuk digunakan kepada pesakit Covid-19.

“Perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan malam ini bersama pihak WHO dan beberapa negara lain yang terbabit,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, keupayaan dan kemampuan Malaysia dalam menjalankan penyelidikan selain sistem perubatan yang baik menjadi antara kriteria pemilihan.

“Antara sebab kita dipilih untuk melakukan penyelidikan bersama WHO kerana kita dikenal pasti sebagai negara mempunyai sistem kesihatan dan penyelidikan yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai ubat remdesivir yang dikatakan boleh merawat pesakit Covid-19, beliau berkata, penyelidikan itu yang akan dilakukan KKM dalam memastikan keberkesanannya.

“Selepas penyelidikan dibuat, kita akan kumpulkan pesakit dari seluruh hospital Covid-19 untuk diberikan ubat itu kepada pesakit dan akan memantau kesan sampingan serta kemujaraban,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:34 PM