ABDUL HAMID BADOR
ABDUL HAMID BADOR
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi memantau perkembangan terkini penularan virus Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan khas itu diketuai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata selain itu, pasukan khas berkenaan juga berperanan memberi arahan berkaitan pencegahan Covid-19.

“Maklumat berkaitan (pencegahan Covid-19) telah disampaikan kepada semua pengarah PDRM, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah seluruh negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Setakat tengah hari Ahad, Kementerian Kesihatan melaporkan, 190 kes baharu positif COVID-19 di negara ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 4:54 PM