ANGGOTA Unit Forensik memeriksa mayat mangsa yang ditemui di hadapan deretan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani, Ipoh, malam ini. FOTO MUHAIZAN YAHYA.
ANGGOTA Unit Forensik memeriksa mayat mangsa yang ditemui di hadapan deretan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani, Ipoh, malam ini. FOTO MUHAIZAN YAHYA.
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI dibunuh dengan tiga tikaman di badan selepas bergaduh dengan lelaki lain di hadapan deretan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani, Ipoh, malam ini.

Mangsa, Kiranjeet Singh Puram Singh, 45, ditemui berlumuran darah dengan dua kesan tikaman di bahagian depan badan dan satu lagi tikaman di belakang badannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.05 malam.

“Polis terima laporan mengenai berlaku pergaduhan di depan kedai aksesori kereta dan apabila sampai didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di kawasan terbabit.

“Siasatan awal mendapati terdapat tiga tikaman pada badan dipercayai menggunakan senjata tajam dengan dua tikaman di depan dan satu di belakang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa adalah warga tempatan yang baru menyewa bilik di tingkat atas kedai aksesori kereta berkenaan serta tidak bekerja dan dipercayai bergaduh sebelum dibunuh.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, suasana pilu berlaku di lokasi kejadian apabila beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa yang hadir tidak dapat menahan kesedihan termasuk seorang wanita pengsan sebaik melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

Wanita itu kemudian dibantu ahli keluarganya serta orang ramai sebelum dipapah beredar dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:07 PM