KEADAAN salah sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dirempuh kereta. (Gambar kecil) Pasangan suami isteri yang maut. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN salah sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dirempuh kereta. (Gambar kecil) Pasangan suami isteri yang maut. FOTO IHSAN PEMBACA
Zaid Salim


SUAMI isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Jemaluang, Mersing, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pasangan terbabit, Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isterinya, Salimah Mohd Shafei, 40, dari Pulau Duyong, Kuala Terengganu berkonvoi ke Johor Bahru bagi menghadiri acara Desaru Intetnational Bike Week (DIBW) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Salah seorang peserta konvoi yang hanya dikenali sebagai Iwan, 30-an berkata, kejadian berlaku apabila sebuah Perodua Myvi dikatakan terbabas lalu memasuki laluan kanan sebelum merempuh beberapa motosikal termasuk salah satunya ditunggangi pasangan suami isteri itu, kira-kira jam 8 malam.

“Akibat kejadian ini, kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi peserta konvoi patah kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, konvoi berkenaan membabitkan lebih 100 motosikal berkuasa tinggi bertolak dari Kuala Terengganu.

Katanya, ketika dalam perjalanan, pasangan terbabit menunggang Kawasaki Z800 bersama 19 peserta konvoi lain berpecah untuk singgah di bandar Kuantan, Pahang bagi membaiki motosikal rakan mereka yang mengalami kerosakan.

“Susulan itu, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

“Difahamkan, jenazah pasangan suami isteri ini akan dibawa pulang ke Terengganu sebaik selesai bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 1:33 AM