FOTO hiasan. FOTO Khairunisah Lokman
FOTO hiasan. FOTO Khairunisah Lokman
Mohamad Fahd Rahmat

BERMULA tahun depan, murid sekolah rendah akan diberikan sarapan percuma dan ia tidak terhad kepada golongan B40 saja malah keseluruhan.

Banyak pihak menyokong pengenalan program sarapan percuma ini namun ada juga yang menimbulkan persoalan mengenai nutrisi makanan yang dihidangkan.

Ini kerana, jumlah sarapan disediakan dalam kapasti besar dengan kualiti makanan serta nutrisinya menjadi tumpuan terutama pihak yang mahukan setiap murid sentiasa mendapat yang terbaik.

Justeru, Kafe Ahad kali ini menjemput Profesor Pemakanan Program Sains Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruzita Abd Talib bagi mengulas isu ini bersama wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

DR Ruzita. FOTO NSTP
DR Ruzita. FOTO NSTP

Apakah jenis nutrisi dan diet makanan terbaik untuk murid?

Untuk golongan ini, sebenarnya pemakanan paling bagus adalah yang seimbang dan sihat. Ia perlu merangkumi atau mesti ada, pertamanya, susu sebagai sumber kalsium untuk pertumbuhan tulang.

Kedua, mereka perlukan sumber tenaga yang boleh diperoleh daripada kumpulan bijirin serta nasi.

Ini kerana, mereka perlukan sumber pemakanan yang boleh membekalkan tenaga kerana golongan ini sangat aktif dengan pelbagai aktiviti.

Lauk pauk juga perlu dititikberatkan. Contoh, telur, ikan, ayam dan jika tidak memakan makanan berdaging, mereka boleh dihidangkan dengan tauhu, taufu atau kekacang.

Sayur-sayuran selain buah-buahan yang kaya dengan pelbagai vitamin juga penting kerana pada peringkat umur sebegini, golongan ini ada kalanya terdedah kepada jangkitan penyakit.

Sumber vitamin daripada makanan sebegini banyak membantu mencegah penyakit.

Gaya hidup mereka kini semakin mencabar kerana aktiviti di dalam dan luar bilik darjah. Apakah perlu diet tertentu yang mereka kena ikuti?

Saya tidak setuju perlu ada diet tertentu. Sebenarnya, jika golongan murid ini sudah didedahkan dengan amalan pemakanan sihat dan seimbang dari rumah, mereka sebenarnya tidak perlu lagi mengambil diet tertentu.

Apa yang saya mahu tekankan adalah, seandainya diet itu mengikut konsep piramid makanan diperkenalkan Kementerian Kesihatan yang perlu ada kumpulan sayur-sayuran, bijirin dan tenusu, ia sebenarnya sudah mencukupi.

Apa yang perlu kita kurangkan adalah sumber makanan manis, berlemak dan bersantan.

Jadi, kita kena biasakan anak-anak dengan makanan dalam kumpulan piramid makanan ini supaya tidak timbul masalah.

Lebih baik kaedah ini bermula dari rumah selain pastikan makanan disediakan di kantin sekolah juga sama.

Bagaimana mahu menjauhkan anak daripada mendapatkan makanan di luar pagar sekolah?

Dalam isu ini, ibu bapa memainkan peranan penting kerana apabila berada di luar sekolah, pihak sekolah sudah tiada tanggungjawab dan tidak boleh menghalang anak kita daripada membeli makanan terbabit.

Apa yang perlu kita ajarkan kepada anak adalah, fahamkan mereka supaya kurangkan membeli atau makan makanan manis. Kita harus perkenalkan mereka dengan makanan yang tidak tinggi kandungan gula seperti coklat dan pelbagai minuman dalam kotak serta botol.

Sebagai ibu bapa, kita perlu tunjukkan yang makanan ini perlu diambil sedikit sahaja. Cukup seminggu sekali atau dua kali saja.

Kedua, kita kena perkenalkan anak-anak kita dengan makanan tinggi garam, contoh, semua makanan berpaket seperti keropok yang sering dijual di luar sekolah.

Makanan itu mengandungi kadar garam yang tinggi dan tidak baik untuk jangka masa panjang.

Kemudian, kita kenalkan anak-anak dengan makanan berproses seperti hot dog serta nuget kerana seperti diketahui ia tinggi kandungan lemak dan garam.

Sebab itu, kalau kita lihat sukatan pelajaran di dalam kelas, anak-anak sudah diajar mengenai makanan tinggi kandungan gula, garam, terproses dan sebagainya.

Apakah nutrisi yang diterima murid di negara ini mencukupi? Apakah ada kajian mengenainya dan bagaimana dengan hasilnya jika ada?

Pada pandangan saya, jika anak ini hanya makan di sekolah, ia memang tidak mencukupi.

Pada waktu rehat, jika anak kita makan mihun serta minum air, ia cuma antara 400 hingga 500 kalori.

Dalam sehari, anak kita sepatutnya makan sehingga 2,000 kalori. Jika mereka ambil dalam 500 kalori di sekolah dan hanya bergantung kepada itu saja, ia memang tidak mencukupi.

Kemudian, sementara anak menunggu bas, ayah atau ibu menjemputnya, mereka makan pula makanan yang tinggi kalori tetapi tidak berkhasiat.

Nutriennya pula banyak garam, gula dan tidak berkualiti.

Jadi, sebab itu, kalau kita lihat dalam kajian terkini status kesihatan rakyat Malaysia, kadar obesiti masih tinggi, baik dalam kalangan kanak-kanak atau golongan tua.

Malaysia juga berdepan masalah penduduk yang kurang berat badan. Jadi kita sebenarnya menghadapi dua masalah iaitu obesiti meningkat dan masih ada yang mengalami kekurangan berat badan.

Mengikut hasil kajian ini, memang kita nampak pemakanan rakyat Malaysia serta gaya hidup dijalani tidak betul.

Apa yang penting kesedaran mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat.

Kita nampak ada rakyat yang aktif berlari serta daki gunung namun itu hanya sekelompok. Masih ramai yang duduk diam, makan, tidur serta kurang aktif.

Apakah saranan kepada kerajaan untuk memastikan pemberian makanan percuma ini membantu perkembangan murid?

Sebenarnya usaha ini sangat baik tetapi pihak berkaitan perlu meneliti dengan terperinci aspek pelaksanaannya.

Pertama, kita bercakap hendak beri makanan percuma kepada semua orang.

Berbanding dengan dahulu, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kita hanya kenalkan kepada mereka yang mempunyai masalah status pemakanan yang rendah, mungkin daripada golongan kurang mampu.

Tetapi kini, kita mahu beri kepada semua, jadi memang perlu ada perancangan yang teliti iaitu dari segi penyediaan termasuk siapa yang hendak menyediakan makanan ini. Adakah perlu diberikan kepada pengusaha kantin.

Jadi, perlu ditanya juga adakah mereka mampu hendak menyediakan makanan untuk semua murid, di sesebuah sekolah yang mempunyai minimum 600 murid.

Perkara ini perlu diberi perhatian. Kemudian, sekolah bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu memastikan pengusaha kantin atau penyedia makanan ini memang mengamalkan kebersihan dan keselamatan makanan yang baik.

Ini perlu kerana mereka akan membekalkan makanan secara menyeluruh kepada murid.

Namun saya pasti kedua-dua kementerian berkenaan akan bekerjasama untuk memastikan komposisi nutrien mencukupi untuk anak-anak kita termasuk 1/4 keperluan kalori.

Saya harap perkara ini diteliti dengan terperinci sebelum dilaksanakan. Mungkin boleh bermula secara berperingkat. Contohnya di Kuala Lumpur, kita ambil Zon Keramat sebagai kajian.

Kemudian nilai setiap kelemahan dan kekuatan untuk ditambah baik sebelum dikembangkan ke zon lain.

Untuk murid yang mempunyai masalah kesihatan atau berpenyakit, bagaimana hendak penuhi keperluan sarapan berkhasiat dan betul untuk mereka?

Untuk mereka, saya pasti sekolah sudah memberi borang kaji selidik untuk diisi bagi melihat adakah golongan ini mengalami masalah seperti alahan kepada makanan tertentu.

Ada murid yang tidak boleh ambil makanan daripada sumber kacang, susu atau sebagainya.

Jadi, perlu ada soal selidik terlebih dulu dengan bertanyakan ibu bapa atau penjaga mereka.

Murid yang ada alahan mungkin muntah atau cirit birit kerana meminum susu.

Ibu bapa mungkin salah faham kerana menyangka anak mereka keracunan makanan walhal ia gara-gara alahan.

Kita juga tidak mahu sekolah serta pengusaha kantin atau penyedia makanan kemudiannya dipersalahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:01 AM