Azlan Muhammad Zain

SKIM elaun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang menindas pemain menyebabkan dua bekas tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak tekad mengangkat kaki dari skuad negara.

Ia mencetuskan perasaan tidak puas hati mereka yang memerah keringat untuk meraih emas kepada negara.

"Saya sebagai pemain tidak boleh menerima pembahagian elaun yang tidak telus dan adil. PSM membuat sesuka hati mengubah elaun terutamanya kami yang berusaha keras mendapatkan emas di Sukan Asia 2018.

"Bayangkan ada pemain baru menyertai skuad negara serta tidak meraih emas di Sukan Asia 2018 namun turut mampu menikmati elaun sama seperti kami. Ia seolah-olah apa yang kami sumbangkan tidak bernilai," dakwa Syahir ketika ditemui Arena Metro.

Malah ia turut menjatuhkan moral rakan sepasukan yang meraih perak dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2018 dengan tindakan seperti itu.

Ia bermula apabila PSM memperkenalkan skim elaun yang baharu pada awal tahun dengan wujudkan tiga kategori elaun iaitu Cemerlang (RM4000), Kepujian (RM3500) dan Baik (RM2000).

"Kami akan diberikan kontrak elaun yang baru setiap bulan, tidak seperti elaun yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN), iaitu tetap bagi tempoh tertentu. Namun tindakan mereka yang sesuka hati memotong elaun tanpa alasan yang kukuh menjadikan kami kurang senang.

“Elaun seorang rakan sepasukan pernah dipotong dengan alasan tidak mempamerkan prestasi diharapkan, sedangkan dalam tempoh berkenaan dia mengalami kecederaan," tambahnya.

Jelas bekas kapten skuad negara itu, lebih membuatkan dia kecewa apabila elaun Zulkifli dipotong separuh dari RM4,000 yang diterima kerana didakwa tidak hadir latihan selama tiga hari sedangkan dia demam dan berada di Terengganu.

Malah menurut tekong berusia 23 tahun itu, terdapat beberapa rakan yang lain turut dipotong elaun sebanyak RM1500 kerana lewat tiga jam melapor diri untuk latihan.

Pada masa yang sama, Syahir dan Zulkifli turut menafikan mereka tidak berdisiplin serta memberontak seperti yang didakwa PSM.

"Sebenarnya sebelum surat pengguguran dikeluarkan PSM pada 27 Jun lalu, kami sudah memaklumkan untuk menarik diri dari skuad negara beberapa hari sebelum itu.

"Namun mereka lebih pantas, mungkin untuk menutup kesalahan mereka apabila bertindak menggugurkan kami dengan alasan disiplin dan sebagainya, sedangkan ia tidak pernah berlaku.

"Malah kami diberikan sepucuk surat oleh seorang jurulatih untuk ditandatangani bagi mengakui kesalahan serta ingin mengemukakan rayuan atas kesalahan kami tidak lakukannya.

"Ia turut mengganggu emosi keluarga kami apabila dakwaan seperti itu dibuat," tambahnya.

Kedua-duanya turut kecewa apabila ramai pemain berbakat yang berada dalam skuad negara digugurkan tanpa sebab dan alasan yang kukuh.

"Saya berharap kami dapat berpeluang untuk menjelaskan perkara ini dengan lebih terperinci kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) dan mengharapkan bantuannya," tambah Zulkifli.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail beberapa hari lalu melabelkan dua tekong berkenaan sebagai ranting yang sudah dimakan anai-anai sehingga boleh membawa kerosakan yang lebih besar kepada skuad negara.

Syahir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun menang emas di Sukan SEA apabila memenanginya pada 2015 disusuli edisi 2017.

Manakala gandingannya bersama Zulkifli menamatkan kemarau 24 tahun untuk emas sepak takraw di Sukan Asia selepas kali terakhir muncul juara di Hiroshima pada 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 12:28 AM
KHIDMAT Syahir (kiri) dan Muhammad Zulkifli tidak lagi diperlukan PSM. - FOTO Owee Ah Chun
KHIDMAT Syahir (kiri) dan Muhammad Zulkifli tidak lagi diperlukan PSM. - FOTO Owee Ah Chun