SYAHIR digugurkan atas alasan disiplin.
SYAHIR digugurkan atas alasan disiplin.
Azlan Muhammad Zain

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengakui terpaksa mengambil tindakan menggugurkan dua tekong emas bagi mengelakkan ‘kerosakan’ lebih besar berlaku dalam skuad negara.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail, mengandaikan tindakan menggugurkan Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak umpama menyelamatkan pokok yang dimakan anai-anai.

"PSM bersama pengurusan, jurulatih dan pemain sudah menanam sepohon pokok besar dan ramai menumpang teduh.

"Namun secara tiba-tiba ada dua ranting dimakan anai-anai, kami cuba menyelamatkannya dengan ubat namun tidak berhasil sebaliknya merebak kepada lapan ranting lagi. Maka tiada jalan lain selain memotongnya agar yang lain kekal berteduh.

"Saya tidak nafikan ia berpunca daripada masalah disiplin, PSM terpaksa mengambil tindakan. Saya sendiri secara peribadi sudah beberapa kali bertemu mereka, ia bukan keputusan yang mudah," katanya selepas mesyuarat penilaian atlet di Majlis Sukan Negara (MSN).

Dua tekong yang membawa emas Sukan SEA 2015, Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018 berkenaan digugurkan PSM dari skuad negara penghujung bulan lalu selain digantung sementara dari terbabit dalam sebarang aktiviti sepak takraw.

"Untuk mendapat perak (Sukan SEA) dengan pemain yang ada, saya fikir tiada masalah. Saya turut akui peluang lebih cerah (emas) sekiranya kedua-duanya berada dalam skuad. Pengguguran ini sudah dimaklumkan kepada MSN.

“Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia membabitkan maruah dan perasaan mereka termasuk keluarga," tambahnya.

Pada masa sama, kedua-duanya berdepan hukuman berganda apabila Ahmad menjelaskan PSM sedang menyiapkan kertas pertuduhan kepada mereka yang dijangka diserahkan pada minggu depan.

"Mereka akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dan sekiranya wujud kes prima facie, mereka akan dibicarakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:38 PM