ANTARA yang dirampas. FOTO Ihsan Polis Johor
ANTARA yang dirampas. FOTO Ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Seramai 18 individu warga asing ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dan urut tanpa lesen menerusi empat serbuan di Taman Pulai Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 petang hingga 7 malam itu membabitkan empat premis berasingan dalam sebuah pusat beli-belah.

Katanya, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan enam lelaki dan 12 wanita warga Indonesia, Filipina serta Thailand berusia 30 hingga 60 tahun.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek bukan warganegara disyaki berperanan sebagai penjaga dan pekerja di pusat urut terbabit.

"Polis antara lain turut merampas 18 kondom, tuala, tisu basah, tisu, lima minyak urut dan empat kertas putih disyaki jadual kerja.

"Turut dirampas kad tertera harga pakej urut serta wang tunai berjumlah RM920," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:47 PM