FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Irwan Shafrizan Ismail


HARGA runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal RM2.28 seliter dan RM1.98 seliter manakala diesel naik satu sen kepada RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit berkenaan untuk tempoh 26 Januari hingga 1 Februari ini.

Katanya, harga baru itu ditetapkan berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Harga produk petroleum diproses (refined product) di pasaran dunia bagi diesel pada ketika ini berada pada paras AS$73 setong berbanding petrol RON95 iaitu pada paras AS$62 setong.

“Perbezaan kos produk lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol disebabkan peningkatan permintaan bagi produk diesel terutama dari China dan peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, bagaimanapun seperti dijanjikan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga berkenaan.

Sebelum ini, harga runcit bahan api bagi petrol RON97, RON95 dan diesel untuk tempoh 19 hingga 25 Januari masing-masing naik antara enam hingga 12 sen seliter berbanding minggu sebelumnya.

Harga bahan api bagi RON97 dinaikkan sebanyak 6 sen kepada RM2.28 seliter, RON95 (RM1.98 seliter) dan diesel pula dinaikkan sebanyak 12 sen kepada RM2.17 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 4:11 PM