PELAKON utama filem Pulang, Remy Ishak (tiga kiri), Puteri Aishah (tiga kanan) bersama pengarah, Khabir Bakhtiar (empat kiri) bersama sebahagian pelakon pada pra tonton filem Pulang arahan Khabir Bakhtiar di GSC Pavilion. FOTO - Halimaton Saadiah Sulaiman / NSTP
PELAKON utama filem Pulang, Remy Ishak (tiga kiri), Puteri Aishah (tiga kanan) bersama pengarah, Khabir Bakhtiar (empat kiri) bersama sebahagian pelakon pada pra tonton filem Pulang arahan Khabir Bakhtiar di GSC Pavilion. FOTO - Halimaton Saadiah Sulaiman / NSTP
Norhayati Nordin


KUMPULAN Media Prima Berhad (MPB) hari ini mengumumkan filem Pulang terbitan anak syarikatnya, Primeworks Studios akan ditayang secara eksklusif di Netflix yang merentasi 190 negara di seluruh dunia.

Penayangan filem arahan Khabir Bhatia serta lakonan Remy Ishak dan Puteri Aishah itu di Netflix juga adalah kali pertama buat penonton global menontonnya melalui platform berkenaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, ia adalah satu pencapaian membanggakan buat Primeworks Studios.

“Salah-satu misi Primeworks Studios adalah untuk membawa cerita-cerita Asia ke persada dunia. Kami sangat teruja Pulang sudah berada dalam perkhidmatan penstriman Netflix yang sangat popular dengan jutaan pelanggan di seluruh dunia.

“Kami gembira melihat orang ramai dari serata dunia dapat menonton filem luar biasa arahan Kabir yang menarik ini.” katanya.

AHMAD Izham Omar bangga dengan pencapaian Pulang. FOTO - Arkib NSTP.
AHMAD Izham Omar bangga dengan pencapaian Pulang. FOTO - Arkib NSTP.

Tayangan Pulang di Netflix adalah sejajar dengan usaha MPB untuk memperluaskan capaian dan penontonnya secara global.

Primeworks Studios akan terus berkembang ke dalam platform dan segmen baru melalui pelbagai kandungannya yang berkualiti.

Filem ini mula ditayangkan kepada pelanggan Netflix Malaysia pada 28 September lalu.

Pulang mengisahkan seorang pelaut yang mengambil keputusan untuk bekerja di atas kapal dagang dan berjanji akan pulang bertemu isteri dan anaknya.

Namun, janjinya untuk pulang tidak pernah tertunai. Kisah sebenar itu didedahkan

cucunya selepas enam dekad.

Selain lakonan menarik, filem ini turut menampilkan sinematografi menakjubkan, skor muzik yang gah dan jalan cerita yang indah merentasi seluruh dunia dari Malaysia, Hong Kong hingga ke Liverpool, United Kingdom.

Pulang yang mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 26 Julai lalu menerima banyak pujian dan maklum balas positif penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:05 PM