ZULKIFFLI menunjukkan  antara 46 perisa apam balik yang unik di gerainya di Jalan Datuk Ismail Hashim, Relau. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ZULKIFFLI menunjukkan antara 46 perisa apam balik yang unik di gerainya di Jalan Datuk Ismail Hashim, Relau. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Mencipta 46 perisa apam balik memang tidak masuk akal namun itu kelainan yang diketengahkan pengusahanya bagi menarik pelanggan.

Apam balik serunding keju, sambal bilis garing dan telur bersama keju antara menu unik yang laris dan menjadi pilihan pelanggan.

Pengusaha apam balik Triple Q, Zulkiffli Lailee, 41, berkata, semua perisa itu dihasilkan daripada permintaan dan maklum balas pelanggan di gerainya di Jalan Datuk Ismail Hashim, Relau, dekat sini.

Menu unik itu membolehkan Zulkiffli menjual 600 apam balik sehari pada harga RM1 hingga RM7 sebiji dengan bantuan dua pekerja.

Zulkiffli berkata, perniagaan yang diwarisi daripada bapanya sejak 2015 hanya ada perisa asli ditabur kacang serta jagung manis sebelum dia menyedari perubahan selera pelanggan lalu cuba menggabungkan keju serta coklat dan mendapat sambutan.

PEKERJA Triple Q menyiapkan apam balik yang ditempah pelanggan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
PEKERJA Triple Q menyiapkan apam balik yang ditempah pelanggan. FOTO Zuhainy Zulkiffli

“Ada juga perisa itu ditemui secara tidak sengaja ketika saya tersalah mencampur bahan ke dalam hidangan.

“Lama kelamaan makin banyak perisa baru tercipta termasuk apam balik pepperoni piza, telur ayam, telur sosej dan oreo selain menggantikan keju biasa dengan keju mozzarella,” katanya.

Perisa lain termasuk keju dan butterscotch, gula merah, strawberi, bijian coklat, sosej, nutella, pisang dan yang terbaharu ialah karbonara bersama keju.

Menurut bekas kerani syarikat pembangunan hartanah itu, sebelum ini dia hanya mengusahakan perniagaan terbabit pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Bagaimanapun, disebabkan sambutan memberangsangkan, dia nekad berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada perniagaan terbabit.

Malah, dia turut membuka cawangan di Bayan Lepas serta melatih pekerjanya membuka cawangan sendiri di Bagan Serai, Taiping dan Ipoh di Perak.

APAM balik ikan bilis rangup. FOTO Zuhainy Zulkiffli
APAM balik ikan bilis rangup. FOTO Zuhainy Zulkiffli

“Pelanggan saya terdiri daripada penduduk dan pengunjung di utara selain Lembah Kelang, Johor dan Singapura.

“Saya merancang memperluaskan jenama ini ke wilayah utara dan mungkin bermula di Alor Setar dan Langkawi tidak lama lagi,” katanya.

Zulkiffli juga berpesan kepada golongan muda supaya mengambil peluang membuka perniagaan dengan jualan yang unik dan mengikut permintaan semasa bagi menjana pendapatan.

Selain menghasilkan sendiri jagung manis, Zulkiffli turut menjual adunan apam balik sejuk beku yang boleh bertahan selama tiga bulan.

“Jatuh bangun itu perkara biasa yang penting perlu berani mencuba selain kreatif bagi memikat selera pelanggan.” katanya.

APAM balik karbonara keju. FOTO Zuhainy Zulkiffli
APAM balik karbonara keju. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:54 AM