Rohaniza Idris dan Siti Nur Mas Erah Amran


PAKATAN Harapan (PH) menepati ramalan untuk terus mengekalkan kerusi apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi berbanding PAS.

Calon PH Halimey Abu Bakar memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan 9,698 undi.

Kemenangan Halimey itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan adalah 23,423 undi manakala 164 kertas undi ditolak dan peratusan keluar mengundi adalah 44.1 peratus.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi di PRK Seri Setia adalah 43 peratus, manakala PRK Balakong pula 44 peratus.

Katanya, SPR akan menyemak semula untuk mengetahui sebab berlaku penurunan jumlah pengundi keluar mengundi untuk kedua-dua PRK terbabit.

“Ada kemungkinan faktor PRU-14 yang baru saja berlangsung empat bulan lalu, salah satu sebab pengundi tidak keluar mengundi,

“Penurunan pengundi juga mungkin kerana mereka beranggapan apa juga keputusan daripada kedua-dua PRK ini tidak mengubah senario politik semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 9:22 PM
HALIMEY dijulang penyokongnya selepas menewaskan Dr Halimah pada PRK DUN Seri Setia, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
HALIMEY dijulang penyokongnya selepas menewaskan Dr Halimah pada PRK DUN Seri Setia, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din