Nor Amalina Alias


SESI pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh sekali lagi terganggu, hari ini apabila hampir 30 lagi pelajar diserang histeria untuk kali ketiga.

Kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari ketika waktu rehat pelajar apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang berada di dalam bilik darjah secara tiba-tiba menjerit.

Sumber sekolah memaklumkan, pihak guru kemudian membawa pelajar berkenaan ke surau di sebelah bangunan bilik darjah namun histeria merebak kepada beberapa pelajar lain.

"Hampir 30 pelajar dirasuk, menangis dan menjerit, kebanyakannya pelajar yang sama diserang histeria beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang ibu pelajar di sekolah berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zainab, 40, berkata, dia berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku.

Katanya, meskipun anaknya tidak terkena histeria namun perkara itu sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan.

"Saya simpati dengan pelajar yang terbabit namun berharap pihak sekolah mengambil tindakan susulan walaupun sebelum ini dah buat solat hajat dan bacaan yasin," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang mangsa histeria minggu lalu yang dikenali sebagai Siti, 18, memberitahu dia hadir ke sekolah hari ini namun tidak dijangkiti histeria.

Katanya, sejak serangan kembali berulang ibu bapanya menyuruh dia berehat di rumah bagi memulihkan semangat dan mengelakkan kejadian berulang.

"Kebanyakan pelajar jadi lemah, penat dan menangis, saya takut juga nak kembali ke sekolah dan tunggu keadaan kembali pulih," katanya.

Berita berkaitan:

'Saya nampak lembaga hitam gergasi...'

[UPDATE] Pengetua 39 pelajar 'histeria' ditukar

Diserang histeria selepas mengaji

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 6:58 PM