Sarah Zulkifli


DUA lelaki masing-masing warga Myanmar dan India didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, atas tuduhan membunuh pemandu Grab yang mayatnya ditemui di Taman Selayang Makmur, Gombak, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada penjual sayur warga Myanmar, Sua Lay, 33, yang juga memegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan kelindan lori warga India, Gurpreet Singh, 23, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuzul Izzah Hasan Basri.

Kedua-duanya mengangguk faham dan dilihat tenang ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves, 10.08 malam 21 Jun lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini bagi sebutan semula kes dan laporan perubatan.

NSTP melaporkan mayat Aiman ditemui dalam keadaan terlingkup di tempat duduk belakang kereta dengan kepala di bawah mengenai lantai kenderaan manakala kakinya di atas pada 8.20 malam, 23 Jun lalu.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana dipercayai ditekup menggunakan baju T miliknya.

Pemeriksaan lanjut pada kereta mangsa mendapati dompet serta satu telefon bimbitnya hilang.

Gambar Yusni Ariffin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 3:19 PM
ANGGOTA polis membawa Sua Lay dan Gurpreet Singh di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANGGOTA polis membawa Sua Lay dan Gurpreet Singh di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohd Yusni Ariffin