Badrul Kamal Zakaria


“SAYA mahu amalan menjaga kebersihan menjadi budaya baharu rakyat di negara ini bukan sahaja di stadium tetapi juga di tempat lain," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, itu antara perkara yang cuba diterapkan seperti yang dilakukan oleh rakyat di Jepun.

"Macam semalam, saya lihat ada beberapa penyokong yang turut membantu (mengutip sampah). Bila rakan-rakan polis nampak saya kutip sampah, mereka pun ikut sekali. Baguslah perkara baik ini ‘berjangkit’ kerana bila seorang buat, yang lain pun akan buat.

"Lama kelamaan ia akan menjadi satu budaya dan itu yang saya nak terapkan. Kalau lihat budaya masyarakat di Jepun, jika nampak sampah, mereka akan kutip.

"Kalau kita tak boleh menjaga kebersihan stadium kita, tempat awam kita, bagaimana kita nak jaga kebersihan negara secara keseluruhan. Saya nak pastikan ia akan jadi budaya baharu rakyat di negara ini," katanya ketika ditemui di Program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Sekolah Kebangsaan Parit No.5, Muar.

Semalam Syed Saddiq dilihat mengutip sampah di tempat duduk penonton selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tingkah laku Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menerima reaksi positif daripada orang ramai dan ia turut tular dalam laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:29 PM
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengutip sampah di tempat duduk penonton selepas perlawanan bola sepak Final Shopee Piala FA 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hafiz Sohaimi
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengutip sampah di tempat duduk penonton selepas perlawanan bola sepak Final Shopee Piala FA 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hafiz Sohaimi