FIRMAN serasi bersama Hyper Act.
FIRMAN serasi bersama Hyper Act.
Norhayati Nordin


Walaupun pembabitan awal Firman Bansir bersama Hyper Act pada Julai tahun lalu kurang diyakini segelintir peminat kumpulan itu, kini semuanya sudah berubah.

Firman, 29, berkata, penerimaan peminat Hyper Act terhadapnya sekarang semakin baik menerusi single kedua yang dihasilkan.

Single berjudul Mengejar Rindu itu baru dimuat naik lirik videonya di YouTube sejak sebulan lalu dan sudah mencatat lebih 1.4 juta tontonan.

Menurut Firman, single ciptaan Akir Hyper Act dan lirik ditulis Frozen itu belum lagi memulakan promosi secara menyeluruh.

“Setakat ini, publisiti awal dilakukan Hyper Act pada single Mengejar Rindu itu menerusi peluang dipilih sebagai lagu tema drama.

“Malah, baru-baru ini Mengejar Rindu dipilih menjadi lagu tema untuk drama Cinta Fatamorgana di TV3. Ia sangat membantu publisiti lagu ini,” katanya.

Mengulas mengenai komen pendengar di YouTube, Firman memberitahu kebanyakannya sangat positif dan menyukai single itu.

“Alhamdulillah, tidak ada lagi komen berbaur kritikan yang mempersoalkan kemampuan saya bersama Hyper Act. Itu sudah cukup buat saya gembira.

“Jika dulu, ketika muncul dengan single Kasih, dapat saya rasakan penerimaan peminat Hyper Act hanya 50-50 saja, tapi saya okey dan tidak kecil hati pun.

“Saya tahu mereka (peminat) memerlukan masa untuk terima saya berikutan cerita sensasi membabitkan dua vokalis Hyper Act iaitu Ronnie dan Kecik sebelum ini,” katanya.

Menurut Firman, peminat pun sudah tidak membandingkan kemampuan vokalnya dengan Ronnie dan Kecik. Jadi, penerimaan sekarang sangat baik.

Mengakui dia juga tidak disekat menyanyi solo, Firman berkata, kini dia memang selesa dan seronok bergerak secara berkumpulan bersama Hyper Act.

“Untuk saya, selagi nama Hyper Act diterima baik peminat, kami akan terus bergerak aktif bersama. Itu yang saya utamakan.

“Apatah lagi, hubungan rapat dengan anggota Hyper Act yang lain membuat­kan saya tekad mahu terus berjuang dalam muzik bersama mereka,” katanya.

Pemuda kelahiran Tawau, Sabah yang juga bekas juara Akademi Fantasia (AF) 2014 ini berkata, dia mengu­capkan terima kasih kepada peminat yang tetap setia menyokong Hyper Act.

“Teruskan menyokong Hyper Act dan saya akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada anda semua.

“Terima kasih juga kerana menerima pembabitan saya bersama Hyper Act sekarang dengan baik. Teruskan menyokong muzik kami,” katanya.

Selain Firman, Hyper Act dianggotai Akir (keyboard), Ejam (dram), Loco (keyboard) dan Etan (gitar).

Ketika bergerak sebagai penyanyi solo, Firman pernah muncul satu album dan popular dengan lagu seperti Di Pintumu, Paling dan Bohong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 2:44 AM