Vida hanya akan kahwin jika anak sulungnya setuju. FOTO MAHZIR MAT ISA
Vida hanya akan kahwin jika anak sulungnya setuju. FOTO MAHZIR MAT ISA
Syafil Syazwan Jefri


USAHAWAN kosmetik yang juga penyanyi, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida, 47, menafikan khabar angin mengatakan dia kini sudah berkahwin dengan jejaka yang tidak dikenal pasti identitinya.

Menurutnya, dia sendiri pun tidak pasti, bagaimana khabar angin itu timbul dan mengakui masih solo.

“Saya tengah jiwa kacau (terganggu) dengan pelbagai masalah baik daripada perniagaan dan peribadi. Semuanya menimpa saya dari setiap penjuru.

“Saya tak kahwin seperti yang diperkatakan dan saya sendiri pun tak pasti, bagaimana berita itu boleh tersebar,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sekiranya ada lelaki yang mendekati dan ingin memperisterikannya, Vida memberitahu dia sendiri risau sekiranya mereka tidak jujur.

“Saya takut juga sebab orang zaman sekarang, kita tak boleh duga. Risau juga kalau mereka nak dekat dengan saya semata-mata kerana duit,” katanya.

Vida juga menegaskan, sekiranya ada lelaki yang ingin memperisterikannya, perlu berdepan anak sulungnya, Cik B terlebih dahulu.

“Kalau Cik B kata okay, saya akan setuju. Yang pasti, Cik B perlu beri keizinan untuk lelaki itu mendekati saya,” katanya.

Vida bagaimanapun tidak mahu terlalu terburu-buru walaupun sedar, sepi apabila bersendirian tanpa suami sebagai peneman.

“Di usia sebegini, saya tidaklah mahu terlalu terhegeh-hegeh. Nanti, orang akan bercakap macam-macam,” katanya.

Terbaru, Vida akan muncul dengan lagu sempena Aidilfitri tidak lama lagi, ciptaan komposer dan penyanyi, Cat Farish.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 4:16 PM