TIDAK terima tawaran dalam jangka masa lama peluang untuk betul-betul fokus kepada ibu.
TIDAK terima tawaran dalam jangka masa lama peluang untuk betul-betul fokus kepada ibu.
HM Digital

Bagi menjaga ibu yang menghidap kanser rahim tahap empat, Puteri Aishah sanggup berehat daripada menerima tawaran berlakon selama enam bulan walaupun wang simpanannya hampir habis.

Aishah, 24, yang juga pelakon drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku berehat daripada menerima tawaran berlakon kerana memberi tumpuan menjaga ibunya yang menjalani pembedahan akibat penyakit itu pada Oktober tahun lalu.

“Pada peringkat awal saya merancang untuk berehat sebulan saja, tetapi sejak Julai sehingga akhir tahun lalu, langsung tiada tawaran berlakon,” katanya.

Namun, dia bersyukur apabila kembali menerima tawaran berlakon untuk beberapa drama dan telefilem sejak Januari yang berterusan sehingga September ini.

Selain itu, dia turut dilantik sebagai duta kempen raya saluran TV3 dan perlu menjalani kempen promosi bermula Ramadan sehingga Syawal depan.

Menurut Aishah, jadual kerjayanya juga kembali penuh dan ditambah pula dengan promosi filem sulungnya berjudul Pulang yang bakal ditayangkan Julai depan.

“Rezeki semakin murah tapi ibu ada juga meluahkan rasa bimbang kerana saya tidak bekerja untuk tempoh lama sebelum ini.

“Mungkin Allah bagi ‘tempoh’ itu untuk saya betul-betul fokus kepada ibu yang dalam proses penyembuhan selepas pembedahan lalu,” katanya.

Ditanya mengenai kesihatan ibunya kini, Aishah bersyukur kerana pembedahan itu berjalan lancar.

Malah, disebabkan tidak mahu ia menjadi penyakit keturunan, Aishah mula menjaga kesihatan melalui pemakanan sihat serta senaman di gimnasium.

Katanya, dia bersenam hampir setiap hari bukan kerana mahu kelihatan kurus atau sentiasa berpenampilan cantik semata-mata, tetapi kerana kesihatan.

“Saya bersenam tiga ke empat kali seminggu kerana mahu sihat. Doktor yang merawat ibu sering menasihati saya dan adik-beradik supaya menjalani kehidupan sihat dengan menjaga pemakanan serta bersenam.

“Ujian menimpa ibu adalah pertama dalam keluarga kami dan ia bukan sebab sakit keturunan,” katanya turut mempunyai empat adik-beradik kembali menjalani kehidupan lebih sihat.

Bercerita mengenai filem Pulang arahan Kabir Bhatia, Aishah akui gementar membawa watak Che Thom yang hidup pada era 1940-an.

Apatah lagi, watak itu diinspirasikan daripada kisah hidup nenek dan datuk Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Datuk Ahmad Izham Omar.

“Apabila ditawarkan membawa watak utama, memang saya gementar. Ditambah pula digandingkan bersama Remy Ishak yang jauh lebih berpengalaman.

“Namun, saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar lakonan daripada Cikgu Fatimah selama sebulan untuk membawa watak Che Thom,” katanya.

Selain diterbitkan dalam bentuk filem, Pulang turut diterbitkan dalam bentuk novel yang mula dijual selepas pelancarannya pada 27 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. - Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 4:56 AM