IBU mangsa dan teman lelakinya direman seminggu di Mahkamah Majistret Kangar bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak sehingga maut di Kampung Abi baru-baru ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
IBU mangsa dan teman lelakinya direman seminggu di Mahkamah Majistret Kangar bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak sehingga maut di Kampung Abi baru-baru ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


UJIAN saringan air kencing ke atas dua suspek yang direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak berusia enam tahun, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan sehingga maut mendapati kedua mereka negatif pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci ke atas dua suspek yang juga ibu mangsa dan kekasihnya.

"Ujian ke atas kedua mereka mendapati mereka tidak dipengaruhi dadah, namun kita masih menyoal siasat ibu mangsa dan kekasihnya.

"Setakat itu sahaja yang saya boleh maklumkan dan selebihnya masih diperingkat siasatan dan sulit untuk didedahkan," katanya.

Sementara itu, difahamkan, suspek lelaki yang juga kekasih ibu mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan menetap di Sungai Petani, Kedah.

Malah menurut sumber, beliau yang juga dalam proses perceraian bersama isterinya sempat melarikan anak perempuan mereka berusia kira-kira empat tahun tinggal bersamanya sejak dua bulan lalu di rumah dipercayai di daerah ini.

Bagaimanapun isteri suspek yang mengetahui perihal suaminya melalui media tempatan, sempat ke rumah keluarga ibu mangsa di Kampung Abi Tok Hashim di sini bagi mencari anak perempuannya.

Bagaimanapun, anak perempuannya itu dikatakan hilang selepas suspek dan kekasihnya menyerah diri pada petang khamis lalu sebelum suspek mengaku sudah menghantarnya ke rumah ibu saudaranya di Chemor Perak.

Terdahulu NSTP melaporkan, kanak-kanak lelaki maut selepas didera teman lelaki ibunya hingga patah rusuk dan pecah usus.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah menjalankan bedah siasat ke atas mayat Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan Khamis lalu.

Berita berkaitan:

'Harap mereka terima hukuman setimpal'

Sampai pecah ususnya didera

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 12:14 PM