NORAIZUWAN (kopiah putih) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas hukuman dijatuhkan. FOTO AIZAT SHARIF
NORAIZUWAN (kopiah putih) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas hukuman dijatuhkan. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pada 2018.

Tertuduh, Noraizuwan Hamali, 30, kelihatan tenang tatkala hukuman dijatuhkan kepadanya oleh Hakim Datuk Azmi Abdullah selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan muasabah.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Nuraizuwan memeluk ahli keluarganya yang menitiskan air mata dengan keputusan mahkamah itu.

Berdasarkan pertuduhan, Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan, di Nombor 33 Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi antara 3.45 petang pada 18 April dan 12.10 tengah malam pada 19 April 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.

Rafidi dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh sudah insaf terhadap kesalahan yang dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulanginya di masa hadapan.

Menurutnya, anak guamnya itu bercerai dengan isterinya selain mempunyai dua orang anak berusia 11 dan sembilan tahun yang kini dijaga oleh bekas isterinya itu.

Manakala, Mohd Izham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak dan juga anak kepada teman wanitanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius sehingga membawa kepada kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 2:03 PM