THAIVEEGAN (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Zaidi (dua kiri), Mohd Fitri (dua kanan) dan Megat Taufik berikutan kejayaan menyelamatkan wanita yang cuba membunuh diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
THAIVEEGAN (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Zaidi (dua kiri), Mohd Fitri (dua kanan) dan Megat Taufik berikutan kejayaan menyelamatkan wanita yang cuba membunuh diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Mohamed Basyir


POLIS sudah membuka kertas siasatan dan akan mengambil keterangan wanita, 28, yang terjun di Kilometer 9.9 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berhampiran Batu Kawan, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

“Perbuatan dilakukan wanita itu adalah satu kesalahan dan kita juga menyeru orang ramai tidak melakukan perkara terbabit kerana mungkin ada cara atau jalan lain untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Katanya, sebanyak 44 kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang dilaporkan sejak 2011, manakala empat kes yang lain berlaku di Jambatan Kedua Pulau Pinang sejak ia dibuka.

Dalam kejadian pada 11.13 pagi semalam, wanita terbabit meninggalkan Toyota Avanza miliknya di tepi jalan sebelum terjun ke laut.

Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan anggota polis bantuan Konstabel Zaidi Salleh, 52 yang ketika itu sedang bertugas bersama dua lagi rakannya.

Kejadian itu pada mulanya dilihat Konstabel Megat Taufik Megat Kamaruddin yang meronda di kawasan jambatan terbabit.

Megat Taufik berkata, dia ternampak wanita itu meletakkan kenderaannya di tepi jalan di atas jambatan terbabit dari jauh sebelum bertindak memanjat pembahagi lalu melompat ke laut.

“Saya terus memecut ke tempat kejadian tetapi malangnya tidak dapat menyelamatkan wanita terbabit kerana dia sudah terjun,” katanya.

Katanya, dia kemudian memaklumkan kejadian kepada Zaidi dan Konstabel Mohammad Fitri Abu Hassan sebelum mereka berbincang untuk menyelamatkan wanita itu.

“Wanita itu menangis meminta tolong, dan kami tidak dapat berbuat apa-apa sementara menunggu bantuan lain tiba.

“Namun, mujur Zaidi menawarkan diri untuk terjun ke laut bagi menyelamatkan wanita terbabit,” katanya.

Hari ini, polis Pulau Pinang bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyerahkan sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai kepada ketiga-tiga mereka atas keberanian kerana menyelamatkan wanita itu.

Berita berkaitan

UPDATE 'Saya terbayang anak sendiri'

Masih panjang usianya... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 5:13 PM