DIIKTIRAF Vokal Terbaik pada AJL32 hapus kesedihan Ernie sejak 8 tahun lalu.
DIIKTIRAF Vokal Terbaik pada AJL32 hapus kesedihan Ernie sejak 8 tahun lalu.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas sembilan tahun berjuang dalam bidang nyanyian, penantian Ernie Zakri untuk mengecap kejayaan berbaloi.

Selain pernah dinobatkan juara program Duo Star, pengiktirafan Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), baru-baru ini dianggap pencapaian tertingginya.

Walaupun sepanjang lapan tahun lalu, Ernie, 26, pernah merungut dan bersedih mengenangkan nasibnya sebagai penyanyi, kini segalanya berubah.

Bagi Ernie yang juga penyanyi lagu Jangan Marah, pentas AJL dan kemenangan diraih bersama rakan duetnya, Syamel itu platform terbaik untuk terus mengembang dan membuktikan bakat sebenar.

Paling penting, kejayaan Ernie dan Syamel itu sekali gus meruntuhkan tembok dibina penyanyi Dayang Nurfaizah bagi kategori itu yang dimenangi tiga tahun berturut-turut.

“Penantian saya selama ini berbaloi. Saya selalu ingatkan diri sendiri supaya percaya kepada rezeki Allah. Malah, sebaik melangkah dalam bidang ini pada 2009, saya tidak pernah lupa. Pada saya, lambat atau cepat, ia semua rezeki. Apabila datang kejayaan, ia berbaloi.

“Diakui lapan tahun lalu saya merungut dan bersedih juga, tetapi saya percaya setiap yang berlaku sudah ditentukan Allah. Alhamdulillah, pentas AJL menjawab segalanya dan terbukti kalau kita terus berusaha dan tidak putus asa, kejayaan pasti jadi milik kita,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan itu bukan alasan untuk Ernie yang juga juara Bintang RTM 2009 untuk mendabik dada atau meletakkan dirinya di kedudukan teratas, malah jauh sekali berasakan dirinya bagus.

Menurut Ernie, perjalanan seninya masih jauh dan banyak lagi perlu dipelajari. Dia juga tidak akan berhenti berusaha kerana mempunyai misi dan visi tersendiri dalam bidang nyanyian.

“Saya berharap perjalanan karier selepas ini lebih berkembang. AJL adalah platform terbesar untuk saya. Apa yang pasti, saya tidak akan berdiam diri.

“Sekiranya selepas ini saya sudah berusaha tapi tidak berjaya, ini adalah rezeki, namun saya tidak akan berputus asa. Saya tetap akan teruskan menyanyi kerana ini adalah minat sejak dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Ernie tidak bersetuju jika dikatakan status guru vokal menjadi kelebihan untuknya merangkul trofi Vokal Terbaik itu.

“Alhamdulillah, terima kasih atas pujian diberikan, namun, apabila bercakap soal pertandingan, ia berbeza. Apa saja berlaku tidak kira guru vokal atau sebaliknya.

“Jika sudah berada atas pentas, segala-galanya berubah. Apa yang dibuat itulah hasilnya. Tidak kisah kelebihan apa yang dimiliki. Kerjaya guru vokal ini adalah bonus untuk saya. Sekiranya kalah pun buat apa nak rasa malu,” katanya.

Tidak hanya itu, Ernie dan Syamel juga dianggap pasangan duet alaf baru yang dilihat serasi ketika membuat persembahan.

“Gelaran diberikan ini satu tanggungjawab untuk kami. Ia juga seakan-akan menjadi jenama untuk saya. Kejayaan pada program Duo Star dibawa ke pentas AJL pula. Insya-Allah, kalau Syamel sudi bekerjasama dengan saya atau album selepas ini, saya okey,” katanya.

Ernie turut berkongsi ibu saudara dan bapa saudaranya yang juga penyanyi popular, Ziana Zain serta Anuar Zain tidak ketinggalan merakamkan tahniah kepadanya sejurus diumumkan menang kategori itu.

“Sebelum persembahan Mak Long (Ziana) ada menghubungi saya mengucapkan ‘good luck’. Selepas tamat AJL pula, sekali lagi Mak Long telefon dan menangis kegembiraan.

Begitu juga dengan Pak Ngah (Anuar). Saya sentiasa berterima kasih kepada mereka atas sokongan diberikan sejak dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:48 AM