POLIS menahan suspek untuk siasatan.  FOTO  detikNews
POLIS menahan suspek untuk siasatan. FOTO detikNews
Agensi

Jakarta: Seorang lelaki ditangkap kerana membunuh keluarga majikannya termasuk anak mangsa berusia lapan tahun semata-mata kerana berdendam akibat sering dimarahi.

Jabatan Jenayah Polis (Reskrim Polresta) Banda Aceh dengan kerjasama Polis Daerah unit Kejahatan dan Kekerasan (Jatanras Polda) Sumatera Utara berjaya menangkap suspek yang dikenali sebagai Ridwan, 22, ketika dia merancang melarikan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, pada petang Rabu lalu.

Ridwan dilaporkan membunuh majikannya Tjisun, 45, dan isterinya Minarni, 40, serta anak mereka, Callietos Ng, yang baru berusia lapan tahun.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di rumah mereka di Kecamatan Kuta Alam, Kota Banda Aceh, dalam keadaan menyayat hati.

Menurut polis, punca utama di sebalik pembunuhan itu adalah dendam.

“Suspek bekerja di kedai runcit milik mangsa. Suspek tergamak membunuh keluarga majikannya kerana terlalu sakit hati akibat sering dimarahi setiap kali melakukan pekerjaan,” kata jurucakap Polis Daerah Aceh (POLDA), Kombes Misbahul Munauwar.

Tambahnya, hasil soal siasat dengan suspek sekali gus membuktikan dakwaan mengatakan ia mempunyai kaitan dengan isu perkauman tidak benar.

“Itu tidak benar. Kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah tulen.

“Keterangan daripada suspek sekali gus menepis dakwaan daripada beberapa pihak media yang mengatakan kes ini berkait dengan perkauman,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati luka pada ketiga-tiga mangsa menunjukkan mereka diserang menggunakan pisau.

Susulan itu, suspek didakwa kerana membunuh dan berdepan hukuman penjara 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:37 AM