MAHADEV bergambar dengan Ruby ketika upacara perkahwinan mereka di sebuah kuil di Kampung Vinoba Nagar di negeri Bihar, India pada Isnin lalu. - Agensi
MAHADEV bergambar dengan Ruby ketika upacara perkahwinan mereka di sebuah kuil di Kampung Vinoba Nagar di negeri Bihar, India pada Isnin lalu. - Agensi
Agensi

Gaya, India: Seorang budak lelaki berusia 15 tahun bertindak membunuh diri selepas dipaksa keluarganya berkahwin dengan balu abangnya sendiri.

Mahadev Das ditemui dalam keadaan tergantung beberapa jam selepas berkahwin dengan bekas kakak iparnya, Ruby Devi, 25, di Kampung Vinoba Nagar di negeri Bihar.

Ramai penduduk kampung dan keluarga kedua-dua belah pihak menghadiri majlis perkahwinan berkenaan di sebuah kuil di kampung itu pada Isnin lalu.

Selepas upacara berkenaan, Mahadev segera pulang ke rumah dan mengurung diri dalam bilik.

Keluarga Mahadev pada mulanya menyangka remaja itu mahu berehat kerana penat tetapi mangsa tidak keluar hingga pagi keesokannya.

Kerana curiga, keluarga Mahadev bertindak memecah pintu bilik itu dan terkejut apabila melihat remaja terbabit tidak bernyawa serta tergantung di siling menggunakan sehelai kain.

Jurucakap polis memberitahu, ahli keluarga Mahadev segera membawa remaja itu ke hospital berhampiran tetapi doktor mengesahkan mangsa sudah lama meninggal dunia.

Katanya, remaja itu dipaksa berkahwin dengan Ruby selepas kematian abangnya akibat terkena renjatan elektrik pada 2013.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Chandreshwar Das, 80, memberitahu Hindustan Times, Mahadev enggan berkahwin dengan wanita itu yang menjaganya seperti anaknya sendiri.

Menurutnya, dia menerima pampasan selepas abang Mahadev meninggal dunia tetapi keluarga Ruby mahu keseluruhan bayaran itu.

“Mereka terus mendesak saya sama ada memberi wang berkenaan atau mengahwinkan Mahadev dengan Ruby yang mempunyai dua orang anak,” jelasnya.

Polis kini menahan beberapa ahli keluarga kedua-dua pasangan berkenaan mengikut undang-undang perkahwinan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:45 AM