ASMANI  menunjukkan kesan cakaran beruang matahari pada lengan kirinya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ASMANI menunjukkan kesan cakaran beruang matahari pada lengan kirinya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: “Walaupun kejadian berlaku empat tahun lalu tetapi tragedi digigit dan dicakar beruang matahari masih menghantui hidup saya,” kata Asmani Yahya, 63.

Warga emas berkenaan pernah diserang beruang matahari di kebun getahnya menyebabkannya masih trauma sehingga kini takut menjejakkan kaki ke lokasi berkenaan.

“Walaupun saya menoreh getah sejak belasan tahun dan sudah sebati dengan hidup tetapi kejadian itu membuatkan saya mengambil keputusan tidak ke kebun lagi.

“Peristiwa hitam itu sampai bila-bila menghantui hidup saya kerana ia saat yang menakutkan,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Balai, Merchang.

Asmani berkata, kejadian itu menyebabkan dia hilang pendengaran dan cuping telinga kiri selain terpaksa menerima lebih 100 jahitan di seluruh tubuh termasuk kepala.

Menurutnya, detik cemas ketika lengan kiri dicakar haiwan liar itu masih terbayang-bayang di mata.

“Ketinggian beruang itu hanya paras dada dan tidak ubah seperti anjing sekali gus jika melihat anjing hitam juga membuatkan saya takut,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana ketika kejadian suaminya, Mamat Ohtman, 67, berada berhampiran tempat kejadian itu dan dapat menyelamatkannya.

“Alhamdulillah umur saya masih panjang, suami membantu dengan menghalau beruang itu menggunakan kayu.

“Saya hanya ingat mati kerana serangan haiwan itu sangat ganas dan cepat hingga menyebabkan hampir separuh kulit kepala saya disiatnya,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkannya dia menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selama 44 hari dan mengambil masa lebih setahun untuk pulih sepenuhnya.

“Kejadian itu membuatkan saya serik berada di kawasan kebun dan hutan,” katanya.

Mamat pula berkata, kejadian menimpa isterinya menjadi peristiwa paling menakutkan dan masih segar dalam ingatan.

“Melihat isteri diserang beruang di hadapan mata sangat menakutkan, hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya.

Menurutnya, dia hanya sempat mencapai dahan pokok kecil untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan isterinya dalam kejadian terbabit.

Katanya, dia juga bernasib baik kerana beruang itu terkejut sebelum melarikan diri selepas disergah dan jika keadaan sebaliknya berlaku pasti mereka berdua tidak dapat diselamatkan.

“Bukan sahaja isteri yang tidak ke kebun malah saya juga melarang anak-anak ke kebun berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 6:45 AM