ROZILA (tengah) menunjukkan replika cek RM1 juta sambil ditemani suaminya, Ku Mokhtar Ku Baharum (dua kanan) bersama tiga anaknya, Ku Nur Liyana (kiri), Ku Iman Aisyah dan Ku Muhammad Muaz. FOTO Nik Hariff Hassan
ROZILA (tengah) menunjukkan replika cek RM1 juta sambil ditemani suaminya, Ku Mokhtar Ku Baharum (dua kanan) bersama tiga anaknya, Ku Nur Liyana (kiri), Ku Iman Aisyah dan Ku Muhammad Muaz. FOTO Nik Hariff Hassan
Idris Musa


HADIAH utama RM1 juta Cabutan Istimewa Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (SSP BSN) bagi Oktober 2017 dimenangi Tan Man Hua manakala Rozila Zainal memenangi cabutan istimewa RM1 juta bagi September.

Rozila yang berasal dari Kodiang, Kedah dan bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Pida Tiga, Jitra, berkata, hadiah dimenangi itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk membaiki kehidupan keluarga dan membiayai perbelanjaan pelajaran anaknya.

Dia yang menyimpan dengan BSN dari 1994 dan membeli SSP BSN sejak 2002 berkata, sebelum ini hanya melihat orang lain yang menang di televisyen.

"Sebelum ini saya hanya tengok orang lain yang menang di televisyen. Dalam hati bertanya, bilalah pula giliran kita," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis itu.

Sementara itu, bagi Tan yang menetap di Kepong Baru, dia menganggap hadiah dimenangi sebagai satu 'anugerah' yang sangat menggembirakan buat dirinya dan keluarga memandangkan kehidupan dilaluinya sangat susah.

"Tuhan beri asalkan kita mencari wang secara halal dan rajin bekerja. Tuhan sayang," katanya yang mendapatkan rezeki harian untuk seisi keluarga melalui barang kitar semula yang dicari dan dijualnya.

Sementara itu, Munit Itam Fajar dari Perak memenangi hadiah Cabutan Bulanan Mercedes C200 dan Muhammad Nasrullah Masrol dari Terengganu memenangi hadiah Cabutan Remaja Kategori Khas RM10,000.

Dua lagi pemenang cabutan bulan September termasuk Tan Fong Pic, 53, memenangi BMW 330e dan Muhammad Farhan Tajudin, 16, memenangi hadiah cabutan remaja kategori khas RM10,000.

Mereka diraikan oleh pihak BSN pada Majlis Cabutan SSP BSN di Wisma BSN, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti Datuk Mearia Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 10:26 PM