LOKASI Rahman (gambar kecil) meninggal dunia ketika solat Isyak. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
LOKASI Rahman (gambar kecil) meninggal dunia ketika solat Isyak. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin


LELAKI warga emas meninggal dunia selepas rebah ketika sujud rakaat pertama ketika menunaikan solat Isyak di Masjid Gelong, Kubang Pasu, malam tadi.

Rahman Hashim, 75, dikatakan sering menunaikan solat lima waktu di masjid berkenaan yang terletak berhadapan rumahnya di Kampung Gelong itu biarpun terpaksa solat di atas kerusi.

Seorang jemaah, Jamal Din, 53, berkata, Rahman pernah pitam sebelum ini ketika bersolat dan apabila rebah, jemaah lain meneruskan solat seperti biasa.

"Tetapi apabila selesai solat, kami temui allahyarham sedang nazak dan saya sempat memangku dan mengajarnya mengucapkan dua kalimah syahadah.

"Beberapa minit kemudian, mangsa menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya pada 9.20 malam," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham, hari ini.

JAMAL menunjukkan tempat Allahyarham meninggal dunia ketika solat Isyak. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
JAMAL menunjukkan tempat Allahyarham meninggal dunia ketika solat Isyak. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin

Jamal yang juga Pegawai Bomba Kanan di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam berkata, mangsa juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan mereka bersama-sama menghadiri majlis bacaan surah Yassin sempena malam Jumaat sebelum solat Isyak di masjid itu.

Sementara itu, anak sulung arwah, Mohd Razif, 50, berkata, ayahnya tidak menghidap sebarang penyakit kronik kecuali penyakit biasa yang dihidapi orang seusia dengannnya seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.

"Ayah tetap ke kebunnya seperti biasa setiap hari di samping menguruskan kedai runcit di sebelah rumahnya dan tidak pernah mengadu rasa sakit.

"Kami reda dengan kehilangan ini, apatah lagi meninggal pada malam Jumaat ketika bersolat dalam masjid," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Ku Esah Ku Ismail, 68, dan tiga anak dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Khariah Kampung Gelong, 11 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 10:50 AM